Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas siasatan kes rogol EXCO ke pejabat AG

IPOH, 19 OGOS: Polis Perak menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol pembantu rumah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada Jumaat lalu.

“Insya-Allah keputusan akan dimaklumkan pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, Razarudin berkata, kertas siasatan itu dipulangkan semula buat kali kedua kepada pihaknya oleh Jabatan Peguam Negara untuk siasatan lebih terperinci supaya memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak yang terbabit.

Pada 8 Julai, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

AG sila rujuk Perlembagaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Bekas Menteri Persekutuan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali merujuk semula perundangan dan ketetapan diputuskan dalam Perlembagan Malaysia.

Beliau berkata, hal itu kerana Apandi tidak memahami prinsip Perlembagaan sebenar dalam menentukan kedudukannya sebagai peguam negara.

Ia susulan keangkuhan Apandi untuk tidak meletakkan jawatannya, selepas mendapat bayangan pengundurannya akan dibuat pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

“Tan Sri Apandi, lebih baik tidak memberikan reaksi seperti dilaporkan (media pembangkang).

“Penentuan kedudukan Peguam Negara terserah kepada Kerajaan (Persekutuan) yang berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong seperti disyorkan Ketua Kerajaan.

“Artikel 145 mesti dibaca bersekali dengan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Twitter.

Apandi sebelum ini dilapor tidak akan meletakkan jawatannya selepas kekalahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri kabinetnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sebaliknya kata Apandi, beliau akan bekerjasama dengan Kerajaan PAKATAN membabitkan aspek perundangan dalam negara.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan itu bersifat mengarut dan tidak boleh diterima.

“Saya fikir apa yang pendakwa awam atau peguam negara kata hari ini berkaitan menasihatkan kerajaan sebagai bullshit,” katanya pada sidang media PAKATAN, baru-baru ini.

Apandi sebelum ini adalah individu yang didakwa menyembunyikan salah laku Najib berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Patail yang dipecat Najib selepas cuba membongkar skandal kewangan terbesar negara itu.

Categories
NASIONAL

Ketua pendakwaan AG ketuai pasukan khas

KUALA NERUS 21 OKT: Ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara akan mengetuai pasukan khas bagi memantau siasatan ke atas dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad terbabit dengan skandal bersama seorang wanita di Bali, Indonesia, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tanpa menyebut individu yang terlibat, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata pasukan itu adalah bahagian yang paling tinggi dan mengetuai segala siasatan terutamanya siasatan polis di seluruh negara.

“Ketua bahagian pendakwaan ini akan terus melaporkan sebarang perkembangan secara terus kepada saya…namun begitu sehingga kini saya tidak lagi mengetahui sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan dan kita serahkan siasatan tersebut kepada polis untuk mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi dan sebagainya.

“Apa yang kita lihat seperti yang tular dalam video tidak pasti lagi akan kesahihannya…tunggu hasil siasatan sahaja…sebab undang-undang semua ada bagi mereka yang membuat kesalahan…kalau orang buat laporan palsu…kita juga ada undang-undang akan dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang sempena Majlis Konvokesyen ke-9 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Gabenor Sulawesi Selatan, Dr H. Syahrul Yasin Limpo turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan Kepimpinan.

Pejabat Peguam Negara pada 16 Oktober lepas telah menubuhkan pasukan khas bertujuan memantau secara rapi siasatan ke atas Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan berkaitan.

Mohamed Apandi turut mengulas sesetengah pihak yang menyalahertikan konsep kewujudan pasukan khas itu.

“Ramai orang salah faham konsep pasukan khas…sedangkan pasukan khas yang saya wujudkan adalah dalam Jabatan Peguam Negara… saya fikirkan pasukan khas ini perlu diwujudkan kerana berlakunya tohmahan yang melibatkan integriti…integriti seorang yang mengetuai Badan Pencegahan Rasuah yang mana memerlukan standard moral yang tinggi.

“Jadi saya sebagai peguam negara dan pengamal undang-undang sentiasa percaya kepada kebenaran itu perlu wujud… kita tidak tahu perkara tersebut fitnah atau benar dan apa yang dilakukan sekarang adalah untuk mencari kebenaran,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM, AG jangan ‘bisu’ titah Majlis Raja-Raja

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diingatkan tidak berdiam berhubung titah Majlis Raja-Raja untuk membuat semakan semula Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat gesaan itu supaya jaminan terhadap prinsip kepada Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara dihormati.

datuk-ibrahim-tuan-man1“PAS mendesak agar Peguam Negara dan PM berhenti mendiamkan diri dan serta menunjukkan komitmen RUU MKN diperhalusi mengikut saranan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Februari lalu, Majlis Raja-Raja berpendapat, peruntukan dalam MKN perlu diperhalusi bagi tujuan mengekalkan ‘status-quo’ Institusi Diraja dan bukannya bertujuan menolak rang undang-undang itu.

Sesetengah pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan RUU MKN jika diluluskan memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Dalam isu berasingan, Ibrahim juga berharap Majlis Raja-Raja meminta Peguam Negara menilai semula keputusannya menolak siasatan SPRM terhadap skandal derma RM2.6 bilion Perdana Menteri.

“Isu ini masih penting kerana persoalan masih membelengui rakyat ialah – apakah SPRM membersihkan PM daripada sebarang tuduhan atau Peguam Negara sendiri mengambil keputusan berlainan daripada hasil siasatan SPRM?

“Jika SPRM menyarankan agar PM didakwa, apa pula alasan Peguam Negara untuk bertindak sebaliknya?” soalnya.

EZY

Categories
NASIONAL

PAS: AG patut pulih integriti bukan cadang penjarakan wartawan

SHAH ALAM 7 FEB: Peguam Negara digesa menumpukan tenaga memulihkan imej jabatannya daripada membazirkan masa memikirkan idea seperti penjara seumur hidup kepada wartawan yang melaporkan rahsia ‘dibocorkan’.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Peguam Negara perlu bersifat adil dan juga kelihatan adil namun malangnya rakyat berpendapat bahawa kedua-dua elemen ini tiada.

Apandi AGKatanya, kesemua institusi pihak berkuasa hanya boleh berfungsi sebagai semak dan imbang kepada badan eksekutif sekiranya Jabatan Peguam Negara dapat mengekalkan kebebasan dan integritinya.

“Tanpa Jabatan Peguam Negara yang bebas dan adil, maka akan hancurlah integriti negara,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan media.

Beliau berkata terbaru, media melaporkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali sedang menimbang meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka membocorkan rahsia negara dan wartawan melaporkannya.

Katanya, tidak dinafikan amanah dalam menjaga rahsia organisasi dan negara penting, namun, bagi mereka membocor rahsia atas prinsip ‘amal makruf nahi mungkar’ jauh lebih mulia daripada menggunakan “rahsia” sebagai alasan tidak mengambil sebarang kesalahan.

“Disarankan Peguam Negara menimbangkan dahulu meminda undang-undang agar mereka yang melindungi pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata Peguam Negara perlu mengkaji semula hukuman terhadap mereka yang diberi amanah tapi terbukti melakukan salahguna kuasa dan rasuah sehingga merosakkan nama baik negara agar mereka juga dihukum penjara seumur hidup.

EZY

Categories
SELANGOR

AG serah kembali kertas siasatan kes simbol agama

SHAH ALAM, 22 JUN: Pejabat Peguam Negara (AGC) menyerahkan kembali kertas siasatan kes perhimpunan simbol agama di hadapan sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, kepada polis.

Sehubungan itu difahamkan penyerahan semula dibuat bagi memohon penjelasan lanjut berkaitan kes itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat, berkata maklumat diperlukan berhubung aspek siasatan dan berkaitan kes.

Katanya, AGC juga berhak menentukan peruntukan bagi membuat pertuduhan di mahkamah.

Terdahulu, difahamkan polis menjalankan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pada April lalu, lebih kurang 50 orang termasuk abang Ketua Polis Negara, Datuk Abdullah Abu Bakar berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap lambang salib di hadapan gereja berkenaan.

Categories
NASIONAL

Siasat akaun AG, Rafizi ke Hong Kong selepas Tahun Baru Cina

SHAH ALAM 21 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan ke Hong Kong selepas perayaan Tahun Baru Cina bagi menyiasat akaun Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurutnya, beliau akan tetap ke negara itu walaupun belum menerima surat kebenaran daripada Gani yang dihantarnya pada 19 Disember tahun lalu.

rafizi akaun“Saya akan ke sana selepas perayaan tahun baru cina memandangkan sekarang penduduk Hong Kong sibuk membuat persiapan Tahun Baru Cina. Saya akan cari masa yang sesuai ke Hong Kong,” kata Rafizi dipetik Keadilandaily.

Katanya, sebelum berlepas ke Hong Kong, beliau perlu membuat temujanji terlebih dulu dengan beberapa jabatan dan individu yang berkaitan.

Pada 17 Disember lepas, Rafizi menerima pelawaan Gani yang memberi kebenaran kepada beliau untuk memeriksa akaun banknya di mana-mana negara, termasuk Hong Kong.

Isu ini timbul setelah dakwaan peguam kanan Umno, Tan Sri Shafee Abdullah yang mengaitkan Gani Patail dengan kes sogokan wang dalam isu pertindihan Pulau Batu Puteh.

Pengakuan itu seperti terkandung dalam akuan bersumpah bekas pegawai polis, Datuk Mat Zain Ibrahim.

rafizi-TI-01Mengulas lanjut, Rafizi berkata, setakat ini tiada tindakan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan salahguna kuasa dilakukan Gani dalam kes berkenaan.

“Tidak ada tindakan yang dimaklumkan oleh pihak SPRM dan Polis kepada kita. Tiada kes disiasat dan isu ini diam begitu sahaja,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Ejen CIA di pejabat AG, SAMM buat 9 laporan polis

OLEH : AFIX REDZUAN,

SHAH ALAM 16 NOV – Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat sembilan laporan polis di seluruh negara hari ini bagi menggesa polis menyiasat dakwaan wujudnya ejen perisikan Amerika (CIA) di pejabat Peguam Negara.

SAMM PolisIni berikutan laporan media yang mendakwa wujud satu akuan bersumpah menggambarkan penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam membuat tuduhan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terlibat – agen perisikan asing (CIA).

Selain itu, SAMM Kelantan akan membuat laporan di IPD Bachok esok manakala SAMM Selangor di IPD Sungai Besar pada Isnin ini.

edy noor redzuan SAMM 01Ketua Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan, berkata polis perlu mengambil tindakan progresif menyiasat dakwaan yang dikemukakan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam akuan bersumpah.

“Kita bertegas pihak polis ambil tindakan untuk siasat perkara ini. SAMM Kebangsaan dan SAMM Wilayah akan membuat laporan polis di IPD Dang Wangi pada 24 November ini.

logo SAMM2“Kita seru orang ramai, pendokong parti politik hadir untuk memberikan sokongan,” katanya kepada Selangor Kini.

SAMM turut mendesak supaya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail diberkas untuk disoal-siasat dan Mahathir sendiri tampil memberi penjelasan.

-EZY

Categories
NASIONAL

Ejen CIA di pejabat AG, laporan polis serentak esok

Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 15 NOV : Laporan polis secara serentak di seluruh negara dibuat esok (16 Nov) untuk mendesak supaya semua aktiviti melibatkan Pejabat Peguam Negara dibekukan.
logo SAMM2Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan, berkata tindakan itu ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan dua ejen perisik agensi CIA bekerja di pejabat itu.

Kata beliau, SAMM turut mendesak supaya Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail diberkas untuk disoal-siasat dan Mahathir sendiri tampil memberi penjelasan.

“Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim (bekas pegawai kanan Polis), negara mungkin telah dipengaruhi oleh agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui Pejabat Peguam Negara.

“SAMM juga tidak menolak kemungkinan antara kecelaruan dan musibah yang berlaku termasuk melibatkan pemalsuan bukti dalam kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktiviti pengintipan ini juga mampu menyebabkan kekalahan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa.

“Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas namun apakah mungkin ianya diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat,” kata Edy Noor dalam kenyataan media.

Beliau menyeru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul beramai-ramai di hadapan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi memberi tekanan lebih serius pada 24 November ini jika tiada sebarang tindakan diambil polis.

“Laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM di Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru, diikuti oleh SAMM dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Agen CIA di pejabat AG, SPRM perlu bertindak

Oleh : Lizawati Madfa,

PETALING JAYA 13 NOV : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan kenyataan rasmi berhubung tindakan bakal diambil badan itu ekoran dakwaan terdapat ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pejabat Peguam Negara.

shamsul iskandarKetua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata SPRM perlu mengambil serius pendedahan yang dibuat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu kerana ianya melibatkan kedaulatan negara.

Kata Shamsul, bidang kuasa SPRM membolehkan badan itu memulakan terus siasatan terhadap sebarang pendedahan atau dakwaan tanpa memerlukan sebarang laporan dibuat.

“Ketua Polis Negara (IGP) sebelum ini memberitahu perkara ini terserah pada SPRM, maka sekarang ini kita masih menanti kenyataan daripada SPRM.

“Saya mohon agar SPRM jangan terus berdiam diri dalam hal ini, sebaliknya tampil dengan kenyataan yang sewajarnya,” ujar Shamsul.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini.

Gesaan sama turut dibuat terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail yang sehingga kini masih membisu tanpa sebarang kenyataan balas atau penafian terhadap dakwaan Mahathir baru-baru ini.

CIA“Saya mencabar Peguam Negara untuk tampil ke hadapan dan berterus terang dengan rakyat mengenai dakwaan serius berkenaan ejen CIA di pejabatnya,” kata Shamsul.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pakatan Rakyat kini dalam pertimbangan untuk membawa usul menangguhkan sidang Parlimen yang kini berlangsung bagi membincangkan isu ejen CIA ini.

Mahathir dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa terdapat dua orang pegawai Amerika Syarikat yang merupakan ejen CIA berkhidmat di pejabat AG sekarang.

-EZY