Categories
SELANGOR

Prasarana laksana latihan simulasi hadapi kecemasan

SHAH ALAM 15 FEB: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan melibatkan Polis, Jabatan Bomba, pasukan perubatan dan agensi kecemasan lain di stesen baru IOI Puchong hari ini.

Bermula pada jam 10 pagi, latihan simulasi itu berlangsung selama satu setengah jam sebelum diisytiharkan tamat pada 11.30 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Ahmad Nizam Mohamed Amin mengingatkan tentang pentingnya aspek keselamatan diberi perhatian pada setiap masa.

Prasarana“Urusan keselamatan ini, jangan sesekali kita ambil mudah. Sekali berlaku, walaupun kecil menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada perkhidmatan kita.

“Sentiasa ingatkan moto Rapid Rail semasa bertugas – tiada kerja yang terlalu penting sehingga kita mengabaikan keselamatan,” kata beliau dipetik laman sesawang Prasarana Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif PRAISE, Datuk Ir. Zohari Sulaiman pula berkata latihan simulasi itu penting untuk menguji tahap kesediaan dan kelulusan pembukaan fasa kedua LEP Laluan Ampang, yang dijadualkan pada 31 Mac ini.

“Ujian ini perlu untuk SPAD menyediakan laporan lengkap kepada kerajaan bagi mendapat kelulusan bagi pembukaan laluan berkenaan.

“Latihan simulasi ini juga membantu polis dan bomba lebih mengenali tentang fasiliti di stesen kita,” kata Ir. Zohari.

PRAISE, atau Prasarana Rail and Infrastructure Project Sdn Bhd, adalah anak syarikat Prasarana dipertanggungjawab mengendalikan projek infrastruktur pengangkutan awam seperti LEP.

Selain Laluan Ampang, projek penyambungan jajaran LRT ini turut melibatkan Laluan Kelana Jaya daripada Kelana Jaya ke Putra Heights dan dibuka sepenuhnya pada 30 Jun ini.

Untuk Laluan Kelana Jaya, latihan simulasi ERP akan diadakan pada 14 April ini di stesen Subang Alam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.