Categories
NASIONAL

RM4.3 bilion hilang setahun jika 1.5 juta Bangladesh dibawa masuk

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Jumlah pengaliran keluar wang ke luar negara dijangka meningkat kepada RM4.38 bilion apabila langkah menambah 1.5 juta lagi pekerja asing daripada Bangladesh dilaksanakan.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata langkah ini mampu memburukkan lagi keadaan ekonomi negara ekoran pertambahan itu menyebabkan imbangan pembayaran negara menjadi difisit.

warga asing -sosial“Secara purata jika 5.8 juta pendatang asing yang ada menghantar pulang wang kepada keluarga di negara asal masing-masing dianggarkan RM3.48 bilion setahun, bermakna pertambahan 1.5 juta pekerja Bangladesh menyebabkan pertambahan RM900 juta lagi dibawa keluar.

“Keadaan ini sudah tentunya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara terutamanya di saat kita sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Keadaan ini dapat diatasi dengan langkah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja tempatan bagi mengelakkan pengaliran keluar wang secara besar-besaran apabila pekerja tempatan membelanjakan upah diterima di dalam negara sahaja,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Katanya, anggaran itu diperolehi dengan mengambil kira anggaran gaji purata pekerja asing sebanyak RM1,200 sebulan dengan 50 peratus untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Dr Rosli berkata, secara purata kebanyakkan pekerja asing mampu mengirimkan kira-kira 50 peratus daripada pendapatan diperolehi ekoran cara hidup mereka yang terlalu berjimat cermat sehingga sanggup tinggal bersesak di rumah yang dihuni lebih 10 orang.

Selain bersesak di sebuah rumah dalam jumlah yang ramai, terdapat juga majikan yang menyediakan hostel kepada pekerja asing mereka.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.