Categories
SELANGOR

Selangor tak halang wanita jadi hakim syarie – MAIS

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Selangor tidak menghalang wanita daripada dilantik sebagai hakim syarie seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata fatwa yang dikeluarkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 26 dan 27 Jun 2006, hanya menentukan had dan ruang tertentu menyebabkan wanita tidak harus dilantik sebagai hakim syarie dalam kes berkaitan hukum hudud dan qisas.

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa“Keputusan fatwa ini sama sekali tidak bercanggah dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 73.

“Ini bermakna hakim wanita boleh dilantik dalam kes selain yang berkaitan hukum jenayah seperti mal, kekeluargaan dan penentuan ahli waris faraidh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan jawatan Hakim Mahkamah Syariah.

Pada Rabu lalu, Shahrizat mendakwa bahawa keputusan yang tidak konsisten dibuat oleh Mahlis Fatwa Negeri dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menghalang wanita daripada menjadi hakim syarie.

Shahrizat turut menamakan Selangor sebagai salah satu daripada sembilan negeri yang mempunyai keputusan fatwa seperti dinyatakan.

mahkamah-syariahAdzib menjelaskan bahawa perlantikan hakim syarie bagi Mahkamah Syariah Selangor adalah kuasa DYMM Sutan Selangor dan prosedur pelantikan diperuntukkan dengan jelas dalam bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

“MAIS menggesa kepada mana-mana pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan memberi gambaran yang tidak tepat,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.