Categories
SELANGOR

SELCAT: Laporan pendengaran awam denggi dibentang di DNS 28 Mac

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bakal membentangkan laporan mengenai sesi pendengaran awam mengenai denggi dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 28 Mac ini.

Pengerusi SELCAT, Hannah Yeoh, berkata pembentangan itu bakal dijalankan bagi tujuan perbahasan dalam sidang DNS nanti.

SELCAT4“Kita menyiapkan laporan dan dibentangkan dalam sidang DNS akan datang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran bersama SELCAT itu berakhir.

Sesi pendengaran itu membabitkan empat kumpulan iaitu wakil Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Exco Kerajaan Negeri, kumpulan penduduk dan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipanggil selaku saksi.

Hannah berkata, SELCAT mendapati daripada keterangan diberi dalam sesi pendengaran itu maka banyak perkara berbangkit yang perlu diberi perhatian serius bagi tujuan penyelesaian.

Katanya, tiada komunikasi jelas antara pihak berkuasa berkaitan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Bila soal peruntukan, JKN tidak tahu mengenai peruntukan boleh dipohon daripada Kerajaan Negeri.

“Begitu juga dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam isu saman dan sebagainya,” katanya.

Berhubung isu Exco Kerajaan Negeri tidak dijemput menghadiri mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan di Purajaya, selaku Adun, Hannah berkata, kementerian diminta mengenepikan isu politik bagi menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Wabak denggi adalah isu kesihatan, sepatutnya mesyuarat diadakan kementerian di Putrajaya tidak dilihat sebagai isu politik.

“Exco Kerajaan Negeri sepatutnya dijemput bagi menghadirinya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.