Categories
SELANGOR

Zainal puji aksi cemerlang bekas tonggak Pahang

Oleh: AFIX REDZUAN

KUANTAN, 28 FEB: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan memuji empat bekas tonggak Pahang yang beraksi cemerlang membantu pasukannya bangkit mencatat kemenangan selesa meskipun ketinggalan di awal permainan.

Katanya, kesemua mereka diturunkan seperti biasa sebagai strategi penggantian pemain memandangkan ada antara mereka yang sudah pulih daripada kecederaan.

Empat pemain berkenaan adalah Mohd Khairul Azhan selaku penjaga gol, Mohd Razman Roslan bertindak sebagai Ketua Pasukan, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan.

ZAINAL ABIDIN“Pada saya mereka memang dijadualkan beraksi hari ini, Gopi sudah kembali pulih daripada kecederaan, Norazlan sudah bermain tiga kali dan bergilir-gilir dengan Yan (Khairul Azhan).

“Hafiz dan Razman juga bermain dengan baik. Tahniah saya ucapkan kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Lebih membanggakan, Gopinathan turut mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga, namun beliau tidak meraikan jaringan berkenaan sebagai tanda hormat kepada bekas pasukannya.

Mengulas berkenaan corak permainan Selangor yang gugup pada awal babak pertama, Zainal mengakui perkara itu namun tetap berbangga dengan kebangkitan positif pemainnya.

“Memang kita lihat Pahang begitu cergas di awal permainan.

“Mereka tahu untuk mendera kita kerana Selangor bermula dengan lambat tetapi Alhamdulillah kita berfikiran positif serta mempunyai agensi serangan baik untuk menyamakan kedudukan serta bermain cukup cemerlang,” katanya.

sel 1Pada masa sama, beliau turut memuji persembahan mantap dan konsisten ditunjukkan penyerang, Patrick Ronaldinho Wleh selepas menjaringkan gol sekali lagi dalam perlawanan semalam.

Zainal berkata, beliau kini sedang memantau keadaan pemain supaya mendapat rehat secukupnya memandangkan Selangor berhadapan jadual perlawanan padat di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dalam perlawanan seterusnya, Selangor dijadualkan bertemu Sarawak pada 1 Mac di Stadium Selayang.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.