Categories
NASIONAL

Beza prinsip Anwar, Tun Razak, Mahathir dan Najib dalam politik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 MAC: Berpegang idea dan prinsip jelas sebelum melangkah ke gelanggang politik merupakan ciri penting dimiliki Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abd Razak Hussein.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata Anwar adalah aktivis mahasiswa dan kemudiannya aktivis organisasi bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai isu seperti isu membela para petani, bahasa dan lain-lain.

“Tun Abd Razak pula, walaupun menjadi Perdana Menteri di sebuah negara demokratik tetapi turut memiliki gaya pemikiran bercirikan seorang sosialis.

ANWAR - NAJIB“Tun Razak semasa belajar di luar negara, beliau banyak terlibat dengan rakan sosialis hingga menjadikan beliau juga berfikiran sosialis yang sampai sekarang cuba disorok.

“Bila beliau gubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada masa itu, sebenarnya dasar itu hanya ada di negara sosialis sahaja dan begitu juga dengan Tun Mahathir Mohamad juga ada pijakan tertentu sebelum sertai politik,” kata Dr Shahruddin.

Beliau berkata demikia pada program Akademi Politik yang bertajuk Mahasiswa: Aktivisme dan Politik Perubahan di Hotel Carlton, Shah Alam, semalam.

Katanya, beberapa idea Anwar semasa bergelar aktivis juga berjaya dilaksanakan sama ada sebelum mahu pun selepas beliau menyertai kabinet seperti idea menubuhkan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan sistem Takaful.

Jelasnya, keadaan ketiga-tiga mereka ini jauh berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menceburi politik kerana diseret untuk meneruskan legasi bapanya tanpa mempunyai idea dan prinsip jelas untuk diperjuangkan.

Katanya, keadaan ini menyebabkan Najib terumbang-ambing tanpa pegangan tertentu dan dilihat lebih berminat bermain dengan kuasa yang ada.

“Dinasihatkan kepada mahasiswa, kalau nak ceburi politik, fikirkan dahulu idea dan prinsip yang jelas dan peganglah untuk memandu kamu ke matlamat perjuangan kamu,” kata Dr Shaharuddin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.