Categories
SELANGOR

Exco: “Jangan cari along, HIJRAH kan ada”

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 27 MAC: Usahawan diingatkan agar tidak mengambil jalan mudah meminjam daripada peminjam wang haram atau dikenali ‘along’ untuk menyelesaikan masalah kewangan perniagaan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata sebaliknya Kerajaan Negeri bersedia membantu golongan terbabit mengembangkan perniagaan melalui skim pinjaman HIJRAH.

HIJRAH SELANGOR“Mungkin ada peniaga memerlukan suntikan kewangan perniagaan mereka tetapi hadapi pelbagai masalah tak boleh pinjam bank, tidak ada penyata gaji, tak ada modal, kewangan yang lemah tetapi Kerajaan Negeri sediakan bantuan untuk golongan ini.

“Pinjaman ini membolehkan peniaga tidak perlu mencari jalan mudah dengan meminjam daripada along. Saya sebagai Exco Kebajikan, ramai yang datang kepada saya minta bantuan menyelesaikan masalah pinjaman along tetapi saya tidak dapat tolong.

“Jangan sesekali terperangkap dengan along kerana along memang tidak mengenal kasihan. Siapa terjebak, habislah masa depan,” kata Dr Daroyah pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Komunikasi Efektif Usahawan HIJRAH di Akademi Hevea, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat mangsa along yang terpaksa menanggung hutang sehingga mencecah hampir RM30,000 walaupun pada asalnya hanya meminjam RM3,000 sahaja.

Sementara itu, Kursus Komunikasi Efektif Usahawan HIJRAH yang diadakan selama dua hari satu malam itu disertai lebih 40 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan.

Kursus itu diadakan bagi melengkapkan peserta dengan skil komunikasi berkesan sekaligus membantu meluaskan pasaran perniagaan mereka.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.