Categories
SELANGOR

Ladang Smart Selangor tingkat pengeluaran makanan

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri mengambil langkah awal mengenalpasti tanah miliknya untuk dijadikan sebagai tapak pengeluaran pertanian makanan dikenali sebagai Program Ladang Smart Selangor.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Permodenan dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata Kerajaan Negeri sedang melihat sudut penggunaan tanah kerana perlu bersaing dengan sektor lain seperti industri, perkhidmatan dan pembangunan.

PERTANIAN“Dari sudut guna tanah di negeri ini semakin kecil kurang daripada 40 peratus, sebab itu kita dalam usaha melihat tanah kerajaan bersesuaian untuk melancarkan program dirangka iaitu Ladang Smart Selangor.

“Ladang itu kita pajakkan kepada usahawan dan kita meletakkan kuota 30 peratus untuk Agro Generasi Muda Selangor (Agro GEMS),” katanya.

Katanya, menurut laporan statistik Selangor mengalami masalah kekurangan bekalan makanan.

Antaranya pengeluaran padi dan beras hanya boleh membekalkan kepada penduduk di Selangor sebanyak 30.65 peratus, buah buahan 21.43 peratus, sayur sayuran 27.96 peratus dan hanya kelapa telah mencapai 104 peratus.

“Manakala dari sudut penternakan kita hanya mampu membekalkan daging lembu sebanyak 3 peratus, susu lembu 1.3 peratus, kambing 2.2 peratus, ayam dan itik 40.4 peratus dan telur ayam sahaja melebihi 120 peratus.

“Jadi Kerajaan Negeri mencari alternatif meningkatkan pengeluaran dengan memberi peluang kepada usahawan dan belia melalui Ladang Smart Selangor yang kita dalam proses diperingkat akhir,” katanya.

Beliau berkata beberapa kawasan sudah dikenalpasti untuk tujuan itu.

“Kita laksanakan program itu antaranya di daerah Gombak yang bakal dilancarkan, manakala di daerah lain masih diperingkat penilaian,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.