Categories
NASIONAL

Mencari Gabenor BNM baru sehebat Tun Ismail, Tan Sri Abdul Aziz, Zeti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Sikap tegas dan amanah dimiliki Allahyarham Tun Ismail Mohd Ali yang tiada tolok bandingannya ketika menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) wajar dijadikan kriteria pemilihan calon Gabenor BNM yang baru.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata kriteria itu penting bagi membolehkan BNM bebas pengaruh politik atau pihak berkepentingan yang akhirnya merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

Bank-Negara-Malaysia“BNM harus bebas pengaruh politik atau pengaruh kerajaan memerintah. Kriteria utama Gabenor BNM harus bukan di kalangan orang politik. Gabenor selayaknya berkelulusan tinggi serta pakar ekonomi, pengurusan kewangan, pengurusan bank dan seumpamanya.

“BNM mempunyai banyak hubungan dengan badan kewangan antarabangsa, beliau mesti berhubungan dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF), Bank Dunia dan bank lain seluruh dunia, maka beliau mesti ada standard antarabangsa dikenali masyarakat kewangan antarabangsa,” kata Dr Rosli.

Katanya, selain Ismail, Gabenor BNM selepas itu, Tan Sri Abdul Aziz Taha juga memiliki sikap sama sehingga beliau sanggup memutuskan meletakkan jawatan apabila mendapati wujudnya tekanan pihak tertentu yang mahukan BNM mengikut telunjuk mereka.

“Begitu juga dengan Tan Sri Jaffar Hussein dan Tan Sri Ahmad Mohd Don selepas itu. Mereka mempunyai kriteria diperlukan oleh seorang Gabenor BNM.

“Zeti pula, beliau memang memiliki sifat peribadi terpuji disamping mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PHD) di University of Pennsylvania. Juga anak kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, seorang pakar ekonomi unggul di Malaysia ini.

“Beliau juga mempunyai nama dan hubungan antarabangsa yang cukup bagus. Dia terkenal di peringkat kewangan antarabangsa. Dia juga amanah dan mempunyai ketegasan melaksanakan dasar ekonomi negara untuk kepentingan negara bukan puak tertentu,” kata Dr Rosli lagi.

Ismail merupakan anak tempatan dilantik sebagai Gabenor BNM pertama dari 1962 hngga 1980 dan diikuti Abdul Aziz (1980-1985), Tan Sri Datuk Jaffar Hussein (1985 – 1994), Tan Sri Ahmad Mohd Don (1994 – 1998), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (1998 – 2000) dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (2000 – Kini).

Sebelum Ismail, Gabenor BNM yang pertama adalah Tan Sri W H Wilcock (1959-1962) didatangkan dari Australia yang dipinjamkan oleh Bank Dunia pada masa itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.