Categories
NASIONAL

Najib digesa jawab RM27 juta masuk akaun peribadi

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan jawapan berkenaan isu pemindahan wang RM27 juta dari Putra Perdana Construction (Putra Perdana) ke akaun peribadinya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata perkara terbabit perlu dijawab Najib selaku Menteri Kewangan ekoran ia dibangkitkan sendiri Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

“Najib kata tiada keperluan menjawab kerana ia ditimbulkan media, tetapi ia tidak benar kerana perkara ini dinyatakan Peguam Negara sendiri.

tony-pua“Beliau sudah menunjukkan carta aliran wang kepada semua pihak bahawa RM27 juta dari SRC International disalurkan kepada Putra Perdana dan akhirnya masuk ke akuan peribadi Najib.

“Keengganan Najib menjawab perkara ini menimbulkan keraguan terhadap pembayaran itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, persoalan itu berbangkit apabila pertanyaan diajukan kepada Menteri Kewangan semalam berkenaan pembayaran RM170 juta oleh SRC International kepada Putra Perdana termasuk kewajarannya.

Katanya, Najib mengatakan bahawa pembayaran itu dibuat untuk satu ‘turnkey project’ tetapi tidak menjelaskan nama projek berkenaan dan mungkin ini kali pertama sebuah syarikat kerajaan membuat pembayaran untuk projek dibatalkan serta pembayaran penuh dipulangkan kepadanya semula.

“Perkara ini sama ada boleh dipercayai atau tidak kerana soalan saya apakah projek dan pembayaran ini adalah yang pertama dengan maksud ia jauh lebih besar daripada RM170 juta yang mana kalau ia adalah bayaran 10 peratus maka projek itu bernilai RM1.7 bilion.

“Kenapa tidak pernah didengar pada 2014 terdapat sebarang projek ditawarkan anak syarikat kerajaan terutamanya SRC International kepada Putra Perdana bernilai beratus juta atau melebihi RM1 bilion?” soalnya.

Pua berkata, persoalan timbul berkenaan pembayaran Putra Perdana ke akaun peribadi Najib berjumlah RM27 juta yang dipercayai membawa maksud syarikat itu menerima bayaran keseluruhan RM197 juta tetapi dipulangkan semula kepada SRC International hanya RM170 juta.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.