Categories
SELANGOR

PBT disaran lebih inovatif tangani miskin bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 17 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran lebih inovatif menyediakan pelan pembangunan menangani masalah kemiskinan bandar, kata Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, masalah itu perlu ditangani sebaiknya supaya taraf ekonomi rakyat dapat ditingkatkan seiring dasar pembangunan diperkenalkan Kerajaan Negeri.

MOHAMED AZMIN“Masalah kemiskinan bandar hari ini khususnya di bandar raya tidak sama seperti lima atau 10 tahun lalu kerana tuntutannya berbeza dan masalahnya juga berbeza.

“Atas faktor ini kita harus bertindak dengan lebih inovatif dan kreatif dalam menyediakan perancangan mengatasi isu itu daripada berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya, 2015-2020 dan penyampaian sumbangan pasukan keselamatan kejiranan Petaling Jaya PKKPJ2016 di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Mohamed Azmin berkata, isu kemiskinan adalah antara cabaran terbesar di peringkat PBT ke arah melahirkan peratusan kadar sifar kemiskinan bandar seluruh Selangor.

Justeru, bagi merealisasikan komitmen itu katanya, beberapa pendekatan realistik boleh dilaksanakan dengan memberi penumpuan terhadap aspek ekonomi rakyat termiskin.

“Usaha itu boleh dilaksanakan dengan memberikan peluang pekerjaan, bantuan perumahan mampu milik dan tumpuan terhadap isu keselamatan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.