Categories
AGENDA NASIONAL

Makanan tambahan lima kali seminggu untuk kanak-kanak miskin bandar

SHAH ALAM, 29 OKT: Bajet 2022 memperuntukan sejumlah RM24 juta untuk aspek kesihatan kanak-kanak terutamanya masalah kurang zat dalam kalangan keluarga miskin bandar, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program makanan tambahan diberi lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini diperluas kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Zafrul berkata kerajaan juga meluaskan skop penerima bantuan program pemulihan kanak-kanak kekurangan zat makanan bagi manfaat lebih 1,100 kanak-kanak.

“Sebuah bank susu Ibu juga ditubuhkan untuk bayi pramatang di unit penjagaan neonatal  hospital di Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya..

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1 juta atasi masalah kanak-kanak B40 bantut di bandar

AMPANG, 3 NOV: Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi program Bank Makanan Kanak-Kanak dengan menumpukan golongan berusia enam tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di kawasan bandar.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata sekarang adalah waktu terbaik untuk mengatasi masalah pertumbuhan terbantut yang dialami generasi muda kerana tidak mendapat nutrisi secukupnya.

“Isu kebantutan ini kita akan tumpu kepada kawasan bandar kerana kemiskinan mendesak adalah miskin bandar. Seperti kita sedia maklum hampir 90 peratus kawasan di Selangor adalah perbandaran.

“Sekarang adalah masanya untuk kita tangani masalah ini,” kata Rodziah Ismail ketika meninjau gerai jualan sempena Deepavali di Pusat Membeli Belah Galaxy Ampang pada Ahad.

Dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk program Bank Makanan Selangor yang akan dilaksanakan ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara mendapati sebanyak 33 peratus kanak-kanak di kawasan tersebut mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan nutrisi.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Bank Makanan Selangor bantu miskin bandar terkesan Covid-19

AMPANG, 30 JULAI: Program Bank Makanan Selangor bakal dilaksanakan bermula September bagi membantu keluarga miskin bandar yang terkesan pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi memastikan bantuan bekalan makanan dan keperluan asas disampaikan kepada golongan sasaran itu.

“Peruntukan RM5 juta ini sebenarnya telah dimasukkan dalam Belanjawan Selangor tahun ini, namun susulan penularan wabak dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita menyemak semula pelaksanaan program.

“Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan sasaran dan golongan penerima, kita harap program boleh dimulakan selewat-lewatnya September,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Masyarakat Pangsapuri Berembang Indah, hari ini.

Amirudin berkata negeri ini melakukan sehabis baik bagi menangani impak wabak terutama untuk mengurangkan beban dan kesengsaraan rakyat.

“Cuma kita tidak mungkin dapat puaskan hati semua pihak, untuk penuhi keperluan semua adalah mustahil tetapi Selangor merupakan negeri yang menyediakan pelbagai inisiatif sejak Covid-19 melanda,” katanya.

Selangor negeri paling awal mengumumkan bantuan kepada golongan sasaran menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin pada 20 Mac, hari ketiga pelaksanaan PKP.

Ketika Kerajaan Persekutuan dan negeri lain masih membuat kira-kira, Selangor membentang pakej bantuan berjumlah RM127.8 juta.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berjumlah RM272.5 juta diikuti pelan pemulihan ekonomi negeri jangka sederhana yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor pada 13 Julai.

Pelan itu, lanjutan dua fasa pakej rangsangan Selangor Prihatin pada Mac dan April lalu, berasaskan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan. Keseluruhan nilai rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hapus stigma hanya bandar mampu ubah taraf hidup

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Stigma dalam kalangan masyarakat bahawa penghijrahan dari luar bandar ke bandar mampu menjadi penyelesaian kepada masalah kewangan perlu dihapuskan bagi memastikan mereka tidak terjerumus ke dalam ‘perangkap’ miskin bandar.

Penganalisis sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ‘kepercayaan’ itu harus diubah kerana itu adalah tanggapan lebih 20 tahun dahulu dan kini masyarakat luar bandar khususnya harus lebih kreatif dalam mencari serta mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan mereka.

Katanya, hari ini ekoran faktor pembandaran dan proses modenisasi yang pesat, jurang antara bandar serta luar bandar dalam konteks Malaysia tidak jauh berbeza.

“Kini kita boleh lihat pembangunan antara bandar dan luar bandar, contohnya, dari Kuala Lumpur ke Melaka, mungkin kita hampir-hampir tidak perasan sudah melalui kawasan kampung dan luar bandar kerana fizikal sekitarnya tiada beza,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata potensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan di samping memajukan kawasan luar bandar akan berlaku sekiranya tenaga buruh yang ramai dari kawasan itu kekal dan menghasilkan pelbagai inovasi bagi menarik perhatian industri untuk beroperasi di luar bandar.

“Sebab apa industri masih kekal di kawasan bandar adalah sebab tenaga buruh ada di tempat itu, tenaga buruh datang kepada mereka (industri). Sekiranya tenaga buruh tidak datang, macam mana mereka (industri) nak dapatkan pekerja.

“Jadi mereka (industri) ini akan fikir kalau mereka datang ke luar bandar, mereka akan ada pekerja dan kadar bayaran yang diberikan kepada pekerja dalam jumlah sesuai. Pekerja juga tidak perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan sewa rumah lebih murah,” katanya.

Bagi penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, negara kini menghadapi masalah ekoran penghijrahan hampir 70 peratus isi rumah dari luar bandar ke bandar sejak lima tahun lepas yang menjadi faktor penyumbang kepada kemiskinan bandar.

Jelasnya, kebanyakan mereka yang berhijrah ini akan menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang selesa dan ada yang berakhir tinggal di perumahan setinggan di kawasan pinggir bandar kerana harga rumah jauh lebih murah dibandingkan di bandar.

“Kualiti hidup juga semakin merosot kerana terpaksa duduk sebagai setinggan di mana jika dibandingkan, mereka mungkin lebih selesa ketika tinggal di luar bandar sebelum ini walaupun bukan hidup dalam keadaan senang,” katanya.

Tambah Barjoyai, pekerjaan yang dimiliki golongan ini juga kadangkala tidak seperti yang dibayangkan ketika mula-mula keluar dari kampung dan mereka akhirnya tiada pilihan serta dibayar dengan kadar upah jauh lebih rendah daripada kos hidup di bandar.

“Contohnya, di Malaysia kita tentukan gaji minimum RM1,100 dan ada gaji mereka ini yang hanya melewati gaji minimum sedangkan kos sara hidup iaitu minimum gaji RM2,500 (isi rumah bagi pasangan berkahwin anak seorang) di bandar adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan di kampung.

“Walaupun mereka bekerja tetap dan ada yang di sektor awam tapi pendapatan masih jauh lebih rendah daripada keperluan hidup minimum dan ini menjadikan mereka miskin relatif,” katanya.

Barjoyai berkata, antara langkah yang dapat dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup adalah dengan memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan tambahan kerana sebelum ini pendapatan isi rumah itu hanya bergantung kepada pendapatan daripada gaji bulanan sahaja untuk menyara hidup.

Namun, katanya mereka ini mungkin menghadapi kekangan tertentu untuk memulakan perniagaan antaranya waktu kerja tetap yang tidak fleksibel dan kesukaran mendapat pinjaman bank kerana tidak cukup syarat pinjaman.

Tambah beliau, satu penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang adalah menggalakkan mereka ini pulang ke kampung kerana kawasan itu akan menjadi bandar kelak ekoran proses pembandaran yang kini sedang dijalankan di seluruh negara.

“Kita boleh lihat dalam 20 tahun lagi, hampir 80 kawasan luar bandar seluruh negara akan menjadi kawasan perbandaran, contohnya di Kedah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Semua pihak perlu tangani kemiskinan bandar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 APR: Kerajaan dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah kemiskinan dihadapi rakyat ketika ini khususnya di kawasan bandar.

Ketua Ekonomi DM Analytics Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, kemiskinan bandar adalah satu isu penting yang membebankan rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup masa kini.

“Untuk menyelesaikannya, kita perlu memahami sesuatu isu dihadapi supaya ianya mampu ditangani dengan cara betul.

“Kita perlu mengubah perkara berhubung kait kemiskinan bandar antaranya kesihatan kanak-kanak, masalah kehilangan pekerjaan dan sebagainya yang mana ia harus diberi perhatian dari segi perangkaan supaya mampu diatasi,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas forum isu sosial semasa ‘Kemiskinan Bandar: Antara Fakta Dan Auta’ di Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di sini, semalam.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat juga boleh bertindak untuk perubahan itu namun tidak memerlukan kumpulan yang besar.

“Mana-mana polisi ingin dilaksanakan hanya memerlukan sekumpulan kecil memainkan peranan dan ia perlu dijalankan secara betul, yang pasti dilakukan secara aktif,” katanya.

Berhubung forum anjuran ABIM itu, katanya, ia pendekatan bagus kerana isu sebegitu jarang diperkata dan dibahaskan dalam kalangan masyarakat.

“Program sebegini bukan sekadar memberi kesedaran tetapi juga perancangan bukan hanya di peringkat kerajaan tetapi NGO dan individu bagi melakukan sesuatu,” katanya.

Categories
SELANGOR

PBT disaran lebih inovatif tangani miskin bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 17 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran lebih inovatif menyediakan pelan pembangunan menangani masalah kemiskinan bandar, kata Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, masalah itu perlu ditangani sebaiknya supaya taraf ekonomi rakyat dapat ditingkatkan seiring dasar pembangunan diperkenalkan Kerajaan Negeri.

MOHAMED AZMIN“Masalah kemiskinan bandar hari ini khususnya di bandar raya tidak sama seperti lima atau 10 tahun lalu kerana tuntutannya berbeza dan masalahnya juga berbeza.

“Atas faktor ini kita harus bertindak dengan lebih inovatif dan kreatif dalam menyediakan perancangan mengatasi isu itu daripada berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya, 2015-2020 dan penyampaian sumbangan pasukan keselamatan kejiranan Petaling Jaya PKKPJ2016 di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Mohamed Azmin berkata, isu kemiskinan adalah antara cabaran terbesar di peringkat PBT ke arah melahirkan peratusan kadar sifar kemiskinan bandar seluruh Selangor.

Justeru, bagi merealisasikan komitmen itu katanya, beberapa pendekatan realistik boleh dilaksanakan dengan memberi penumpuan terhadap aspek ekonomi rakyat termiskin.

“Usaha itu boleh dilaksanakan dengan memberikan peluang pekerjaan, bantuan perumahan mampu milik dan tumpuan terhadap isu keselamatan,” katanya.

-AA-