Categories
NASIONAL

Pertemuan konsensus nasional, agenda selamatkan Malaysia

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Pertemuan membabitkan pimpinan Pakatan Harapan dengan penyertaan parti politik dan badan bukan kerajaan bakal digerakkan bagi membuat perbincangan ke arah penubuhan muafakat nasional.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata pelaksanaan agenda perubahan itu mengambil kira kesediaan pimpinan Umno-Barisan Nasional dalam usaha mereformasikan institusi pentadbiran negara.

AZIZAH BELANJAWAN“Memandangkan masalah kepimpinan serta skandal terus melanda negara tanpa henti, saya amat mengalu-alukan malah menggesa semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau fahaman politik untuk bersama dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, negara kini berada pada situasi kritikal ekoran sistem pentadbiran Perdana Menteri yang gagal dan memerlukan penyatuan semua pihak ke arah negara yang lebih baik.

“Maka semangat inilah yang perlu kita jiwai,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata kelemahan sistem pentadbiran ini perlu ditukar sebagaimana ditekankan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar sebelum ini ada menyebut bahawa kita bukan sahaja mahu orang yang sekarang memegang jawatan Perdana Menteri ditukar, tetapi sistem bobrok dan penuh korupsi perlu direformasi dan diperbetul.

“Saya akan bertemu dengan pimpinan Pakatan Harapan serta parti politik lain, badan bukan kerajaan, dan juga individu untuk membincangkan program asas yang dapat dijadikan panduan bersama di dalam konsensus atau muafakat nasional ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.