Categories
SELANGOR

Piala Sultan Selangor: Turun beramai-ramai 7 Mei ini

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 MAC : Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad menerima serahan tiket bola sepak Piala Sultan Selangor di Dewan Auditorium MBSA, pagi ini.

Majlis Penyerahan disampaikan Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar dengan harapan penganjurannya mampu menarik ramai peminat bola sepak turun menyaksikan perlawanan pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, 7 Mei ini di Stadium Shah Alam.

PIALA SULTAN SELANGORAbdul Karim berkata, peminat pasti menantikan detik pertembungan dua gergasi bola sepak kedua-dua pasukan, selepas Singapura tidak lagi bertanding dalam Piala Malaysia pada 1995.

“Selepas Singapura tidak bertanding, suasana meriah pertembungan antara Selangor dan Singapura tidak dapat disaksikan peminat kedua-dua pasukan.

“Jadi Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Sultan Selangor mencetuskan idea menganjurkan Piala ini bermula 2001 dan ia terus berkembang dan mendapat sambutan cukup hebat sehingga kini,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu, Timbalan Datuk Bandar, Tuan Shukri Mohamad Hamim dan turut disaksikan lebih 300 kakitangan MBSA.

Pada majlis itu, Datuk Bandar turut mengagihkan tiket perlawanan kepada Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan MBSA, Pihak Pengurusan Tertinggi MBSA, Pasukan Bola Sepak MBSA FC dan MBSA Soccer Kids.

tiket selangor cup mbsaAbdul Karim turut mengulas keputusan pihak penganjur tahun lalu yang terpaksa membatalkan perlawanan pada saat akhir dengan mengambilkira pelbagai faktor dan pandangan pihak terbabit.

“Kami bersemangat meneruskan perlawanan namun kerana faktor jerebu, Sultan Selangor lebih berpandangan jauh terhadap kesihatan rakyat dan pemain.

“Namun tahun ini, kita berharap warga Selangor turun beramai-ramai sebagai memberi sokongan kepada pasukan Selangor khususnya,” katanya.

Selangor berjaya menjulang piala itu tiga kali berturut-turut sebelum ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.