Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: Pakatan sedia lawan BN – Wan Azizah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 MAC : Komponen parti pembangkang bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bagi membantu rakyat di negeri itu menuntut kepada perubahan yang lebih baik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata persiapan jentera komponen parti di Sarawak dibuat lebih awal dengan mengambil kira faktor keluasan negeri itu.

WAWI“Desas-desus pembubaran Dun Sarawak akhirnya terjawab. Kita telah bersedia sejak awal lagi dengan mengambil kira faktor kondisi Sarawak yang luas berbanding negeri-negeri lain.

“Ia bukan masalah besar tetapi faktor keluasan itu kita anggap sebagai cabaran kerana apabila kita ke Sarawak, kita dapat rasakan bahang perubahan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pameran Smart Selangor di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pembubaran dewan negeri Sarawak dibuat bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-11 dalam tempoh 60 hari.

PILIHANRAYA SARAWAKSebanyak 82 kerusi dewan undangan negeri dipertandingkan pada pilihan raya itu dengan pertambahan 11 kerusi baru susulan proses persempadanan semula oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN sebelum ini menegaskan pihaknya optimis memastikan setiap kerusi yang bakal ditandingi adalah pertandingan satu lawan satu.

Beliau berkata pertembungan tiga penjuru membabitkan parti pembangkang di Sarawak perlu dielakkan bagi memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Sarawak nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.