Categories
SELANGOR

Sultan: Imam perlu peka ancaman dan cabaran terhadap Islam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya imam peka terhadap cabaran dan ancaman yang cuba mencemar agama Islam serta usaha mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara.

Titah Baginda Sultan, antara ancaman terbabit termasuklah Militan Negara Islam (IS), pendekatan fahaman pluralisme dan liberalisme, gerakan anti hadis dan golongan sesat.

CP2A4514“Imam mesti menekankan bahawa kita di Selangor ini mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Melihat bahaya ancaman tersebut yang boleh meruntuhkan dan melemahkan pegangan akidah umat Islam, para imam hendaklah memainkan peranan besar dalam mendidik, mentarbiyah dan memberi kefahaman Islam kepada ahli kariah.

“Ini dapat dilakukan dengan imam sendiri terlibat membimbing program kuliah dan pengajian di masjid untuk memberi kesedaran kepada ahli kariah,” titah Baginda Sultan pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menyarankan masyarakat Islam bersatu dengan mengeratkan silaturrahim dan mengelakkan berpecah belah serta berpuak-puak.

“Beta menyeru kepada imam supaya mengambil perhatian terhadap perkara ini dan profesional serta tidak mencampur adukkan urusan peribadi dan emosi dalam setiap tugas diamanahkan.

“Beta berkenan supaya aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, kenduri kendara dan aktiviti penjanaan ekonomi berlandaskan syariah dapat dipertingkatkan dengan lebih baik,” titah Baginda Sultan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.