Categories
SELANGOR

Imam kedua surau di Taman Bukit Kajang maut dilanggar kereta imam pertama

SHAH ALAM, 12 NOV: Imam kedua sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang maut manakala seorang lagi jemaah parah dilanggar kereta dipandu imam pertama surau berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di surau terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.

“Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

“Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” lapor Berita Harian.

Azman berkata, imam kedua itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, bilal enggan divaksin diberi kaunseling

KOTA BHARU, 4 SEPT: Kumpulan imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

“Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin Covid-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat Covid-19 kini merupakan endemik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah percepat suntikan vaksin kepada pentadbir masjid

SHAH ALAM 29 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kesihatan Negeri mempercepatkan pemberian vaksin kepada imam, bilal, siak dan jurunikah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah suntikan kepada pentadbir sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya ketika solat Jumaat bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Baginda berpandangan adalah penting golongan ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, Baginda berkenan berangkat mengurniakan watikah lantikan mufti dan timbalan mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dato’ Dr Anhar Ophir dilantik sebagai mufti berkuat kuasa 21 Mei lalu yang mana sebelum ini beliau merupakan timbalan mufti sejak 2016.

Manakala jawatan timbalan mufti kini diambil alih Prof Madya Dr Miszairi Sitiris yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, nazir masjid dapat bantuan khas kewangan RM500

SHAH ALAM, 23 APRIL: Semua petugas masjid di negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM500.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan membabitkan nazir, imam, siak dan bilal turut diberikan kepada Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

“Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan kebajikan petugas masjid yang memikul tanggungjawab penting terutama pada Ramadan,” menurut Dato’ Seri Amiruddin Shari di Facebook.

Beliau berkata bantuan khas berkenaan akan disumbangkan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pagi tadi, Amirudin disertai pemimpin Kerajaan Negeri menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan BKK setengah bulan gaji kepada kakitangan awam negeri ini dengan jumlah keseluruhan melebihi RM22 juta.

 

Categories
AGAMA SELANGOR

Masjid dan surau Selangor dilarang lantik imam Tarawikh negara luar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang semua masjid dan surau di Selangor melantik imam Tarawikh dari negara luar.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, larangan itu selaras dengan undang-undang dan pekeliling dikeluarkan jabatan itu kepada semua pegawai dan anggota jawatankuasa masjid serta surau di seluruh negeri itu.

“Saya menyeru tuan semua mematuhi pekeliling sempena Ramadan yang telah diedarkan kepada masjid dan surau di Selangor pada hari ini.

“Semua masjid dan surau dilarang berbuat demikian dan digalakkan melantik imam Tarawikh dari kalangan pelajar atau lulusan tahfiz dalam negara,” katanya dalam Program Menyemarak Ramadan Bersama Kepimpinan Masjid dan Surau Selangor 2018 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (MSSAA) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, masjid dan surau juga diminta melaksanakan solat Tarawikh 20 rakaat sebagaimana diamalkan Saidina Umar R.A di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Katanya, JAIS juga menetapkan tazkirah atau ceramah dibuat selepas selesai solat Tarawikh dan Witir dalam tempoh tidak melebihi 20 minit.

“Isi tazkirah tidak dibenarkan menyentuh isu sensitif yang menyinggung pihak tertentu serta dijadikan ceramah politik yang menimbulkan rasa tidak senang serta perpecahan masyarakat.

“Semua pentazkirah dipanggil atau dijemput hendaklah mempunyai tauliah berceramah dikeluarkan JAIS,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Sultan: Imam perlu peka ancaman dan cabaran terhadap Islam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya imam peka terhadap cabaran dan ancaman yang cuba mencemar agama Islam serta usaha mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara.

Titah Baginda Sultan, antara ancaman terbabit termasuklah Militan Negara Islam (IS), pendekatan fahaman pluralisme dan liberalisme, gerakan anti hadis dan golongan sesat.

CP2A4514“Imam mesti menekankan bahawa kita di Selangor ini mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Melihat bahaya ancaman tersebut yang boleh meruntuhkan dan melemahkan pegangan akidah umat Islam, para imam hendaklah memainkan peranan besar dalam mendidik, mentarbiyah dan memberi kefahaman Islam kepada ahli kariah.

“Ini dapat dilakukan dengan imam sendiri terlibat membimbing program kuliah dan pengajian di masjid untuk memberi kesedaran kepada ahli kariah,” titah Baginda Sultan pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menyarankan masyarakat Islam bersatu dengan mengeratkan silaturrahim dan mengelakkan berpecah belah serta berpuak-puak.

“Beta menyeru kepada imam supaya mengambil perhatian terhadap perkara ini dan profesional serta tidak mencampur adukkan urusan peribadi dan emosi dalam setiap tugas diamanahkan.

“Beta berkenan supaya aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, kenduri kendara dan aktiviti penjanaan ekonomi berlandaskan syariah dapat dipertingkatkan dengan lebih baik,” titah Baginda Sultan.

EZY

Categories
SELANGOR

Sultan: Semarakkan program imarah masjid

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: Penceramah agama luar negara tidak dibenarkan menyampaikan ceramah mereka di masjid seluruh Selangor kecuali di Masjid Negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam), Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

DYMM Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah, bertitah pengurusan masjid diingatkan tidak memanggil penceramah, pendakwah dan khatib tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Imam“Ini bagi mengelakkan penularan dan penyebaran serta doktrin salah yang mudah masuk dan diterima masyarakat Islam di sini. Masjid adalah tempat beribadah, belajar, berbincang mengenai ilmu agama bagi meningkatkan lagi tahap keimanan dan kualiti dalam ibadah.

“Masjid bukan tempat menyebarkan fitnah dan berita tidak tepat serta hasutan untuk membenci seseorang atau memboikot sesuatu,” titah Baginda Sultan pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya masjid sentiasa diimarahkan setiap umat Islam dengan aktiviti berunsurkan ibadah dan majlis ilmu.

Titah Baginda Sultan lagi, imam harus memainkan peranan menghidupkan suasana masjid supaya berjalan lancar dan konsisten dengan membuat perancangan program sepanjang tahun secara strategik serta mendapat kerjasama semua ahli jawatankuasa masjid.

“Beta menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan seminar dua tahun sekali kepada imam untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada imam untuk penambahbaikan dan menyelesaikan segala permasalahan timbul dalam institusi masjid,” titah Baginda Sultan lagi.

Pada istiadat sama, seramai 393 imam masjid dikurniakan watikah pelantikan masing-masing hari ini daripada Sultan Sharafuddin.

Istiadat penerimaan watikah itu diketuai Imam Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya dan diikuti imam Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, serta imam di enam Masjid Diraja serta masjid lain.

EZY

Categories
SELANGOR

Rakyat sambut baik keprihatinan Kerajaan Negeri naik elaun imam

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Peningkatan elaun imam masjid kepada RM900 berbanding RM750 sebelum ini disambut baik orang ramai kerana keprihatinan Kerajaan Negeri atas khidmat golongan itu.

Mohd Amran Masran, 37, berkata kenaikan itu sangat membantu golongan iman kerana kos sara hidup semakin tinggi.

ustaz amran“Selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kami rakyat biasa turut terkesan atas kenaikan harga barang dan minyak.

“Imam Yusuf Al-Qardawi mengharuskan menerima upah dalam bentuk wang bagi mereka yang berkhidmat untuk negera ekoran peredaran zaman yang kebanyakannya memerlukan kos tinggi,”katanya,

Pelajar Kejuruteraan UNISEL, Laila Isabella, 25, berkata tidak salah menaikkan gaji imam ekoran gaji pokok kini RM900 ke atas.

Laila_resized“Pekerjaan imam sangat mulia dan penting kerana banyak menguruskan hal ehwal masjid termasuk rukun tertangga di kawasan mereka.

“Tanggungjawab mereka juga banyak seperti menguruskan masjid, kenduri doa selamat, pernikahan, umrah dan penduduk setempat meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Faridah Shafiei, 35, berkata kenaikan itu sebagai ganjaran yang harus dipandang kerana golongan imam banyak berkhidmat dan mengimarah masjid.

“Walaupun kenaikan itu tidak tinggi, sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri prihatin dan peranan imam masjid dihargai,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Elaun imam masjid naik RM150 sebulan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 JUN: Imam masjid kariah seluruh Selangor akan menerima kenaikan tambahan elaun RM150 sebulan berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ia bagi menghargai khidmat dan sumbangan imam yang semakin mencabar dalam mengimarahkan masjid di negeri itu.

“Kerajaan Selangor membuat keputusanmeningkatkan bayaran elaun imam masjid kepada RM900 sebulan.

Multaqa penyerahan moreh sempena Ramadhan 2015 MB (15)“Pembayaran elaun tambahan itu akan dilakukan sebelum 1 Syawal tahun ini,” katanya pada Majlis Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid serta Penyerahan Bantuan Moreh Masjid dan Surau Selangor di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Perkara itu pernah diumumkan Mohamed Azmin ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2015, pada November lalu.

Kenaikan itu sebagai tambahan kepada elaun yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM750 setiap bulan.

Multaqa penyerahan moreh sempena Ramadhan 2015 MB (1)Sementara itu, ketika ditanya berkenaan kenaikan elaun guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) yang masih belum selesai, Mohamed Azmin berkata, ia sedang dalam pertimbangan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak cadangan kenaikan itu, namun kajian terperinci perlu dilaksanakan sebelum boleh diputuskan.

“Ada atau tidak Kerajaan Negeri tolak cadangan itu? Tidak.

“Jangan buat spekulasi, tidak timbul isu dua penggal (janji) tetapi kita akan buat sebaik sahaja semua kajian selesai dilakukan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor: Berwaspada Terhadap Penyebaran Ajaran Sesat

Sultan Salam

SHAH ALAM 3 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap penyebaran ajaran sesat yang jauh menyimpang dari ajaran agama Islam sebenar.

Ini kerana titah baginda, ajaran yang mengelirukan rakyat boleh membawa keadaan huru-hara jika tidak dibendung sebagaimana ajaran Syiah yang ternyata berbeza dengan ajaran Al Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan sejak dahulu lagi.

“Beta mendapati ajaran Syiah ini  mula disebarkan di Selangor oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Beta khuatir fenomena in menjadi suatu barah yang menular di dalam senyap dan berkemungkinan ianya akan mengakibatkan Selangor dan Malaysia akhirnya mengalami nasib yang sama seperti apa yang berlaku di beberapa negara Islam di luar negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Masjid Taman Subang Perdana sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Subang perdana di sini semalam.

Baginda amat memandang berat perkara itu kerana baginda tidak mahu berlakunya perselisihan dan pergaduhan di kalangan umat Islam di Selangor.

“Oleh yang demikian, Beta berkenan supaya golongan imam, ahli jawatankuasa masjid serta ahli ilmuwan agama Islam supaya terus memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada rakyat jelata tentang kepentingan memelihara ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar umat Islam di Selangor sentiasa berada di landasan yang benar dan tidak terjerumus ke lembah kesesatan.

“Beta berkenan supaya segala jenis pendekatan digunakan untuk tujuan pendidikan termasuk penggunaan media elektronik atau media cetak dan ianya hendaklah merangkumi seluruh peringkat umur dan latar belakang rakyat,” titahnya.

Sultan Selangor turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam.

Sebelum perasmian masjid, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan kepada 250 asnaf fakir dan miskin, 100 asnaf muallaf dan 197 anak yatim bagi daerah Petaling dalam majlis itu serta menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Timbalan Presiden II, KPJ Healthcare Berhad, Yusof Ismail berjumlah RM400,000.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Masjid Taman Subang Perdana yang asalnya surau Al-Hijrah pada 1996 dibina semula dam disiapkan pada Ogos 2008 dengan kos RM3.6 juta mampu menampung jemaah seramai 1,400 orang pada sesuatu masa.