Categories
SELANGOR

Sultan: Semarakkan program imarah masjid

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: Penceramah agama luar negara tidak dibenarkan menyampaikan ceramah mereka di masjid seluruh Selangor kecuali di Masjid Negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam), Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

DYMM Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah, bertitah pengurusan masjid diingatkan tidak memanggil penceramah, pendakwah dan khatib tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sultan Imam“Ini bagi mengelakkan penularan dan penyebaran serta doktrin salah yang mudah masuk dan diterima masyarakat Islam di sini. Masjid adalah tempat beribadah, belajar, berbincang mengenai ilmu agama bagi meningkatkan lagi tahap keimanan dan kualiti dalam ibadah.

“Masjid bukan tempat menyebarkan fitnah dan berita tidak tepat serta hasutan untuk membenci seseorang atau memboikot sesuatu,” titah Baginda Sultan pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam-Imam Masjid Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya masjid sentiasa diimarahkan setiap umat Islam dengan aktiviti berunsurkan ibadah dan majlis ilmu.

Titah Baginda Sultan lagi, imam harus memainkan peranan menghidupkan suasana masjid supaya berjalan lancar dan konsisten dengan membuat perancangan program sepanjang tahun secara strategik serta mendapat kerjasama semua ahli jawatankuasa masjid.

“Beta menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan seminar dua tahun sekali kepada imam untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada imam untuk penambahbaikan dan menyelesaikan segala permasalahan timbul dalam institusi masjid,” titah Baginda Sultan lagi.

Pada istiadat sama, seramai 393 imam masjid dikurniakan watikah pelantikan masing-masing hari ini daripada Sultan Sharafuddin.

Istiadat penerimaan watikah itu diketuai Imam Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya dan diikuti imam Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, serta imam di enam Masjid Diraja serta masjid lain.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.