SHAH ALAM 29 APR: Hasil tunjuk ajar pelumba senior, rookie CP130, Nazirul Izzat Mohd Bahauddin berharap dapat meraih keputusan lebih baik menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.
Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Racing itu percaya prestasinya mampu berkembang dengan baik hasil didikan pengurus, Soong Chee Kieong dan rakan sepasukan, Norizman Ismail, Elly Idzlianizar Ilias dan Hafiz Nor Azman.
“Ini musim pertama saya bersama pasukan ini dan juga musim pertama dalam kelas paling mencabar, CP130. Jadi banyak perlu dipelajari.
“Berada dalam satu pasukan yang mana pelumbanya mempunyai karakter berbeza-beza banyak memberi kelebihan kepada saya untuk belajar menjadi pelumba lebih baik,” kata pelumba berusia 16 tahun itu.
“Contohnya, abang Norizman merupakan pelumba tenang, tetapi pantas dan bijak mengatur strategi. Dia merupakan pelumba berpengalaman dan pernah memegang rekod sebagi pelumba termuda memenangi gelaran keseluruhan kelas perdana ini. Dia cukup berpengalaman.
“Manakala Hafiz pula masih muda dan gaya dia berlumba pula cukup agresif. Dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik setiap kali berada di litar. Jadi banyak yang saya dapat pelajari dari mereka semua. Mereka juga tidak kedekut untuk memberi tunjuk ajar,”
Bercerita lanjut tentang aksi kelas CP130, Nazirul Izzat yang juga adik kepada pelumba wanita, Nasha Edziera Mohd Bahauddin menjelaskan dia sendiri pada mulanya tidak menyangka mewakili pasukan memenangi pelbagai gelaran dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia ini.
“Mereka memerlukan pelumba muda untuk dibangunkan bersama pasukan. Ketika ini mereka mempunyai Hafiz manakala Norizman dan Elly adalah pelumba senior, jadi mungkin sebab itu saya dipilih untuk bersama mereka.
“Namun, pada masa sama saya juga perlu membuktikan yang saya mampu untuk melakukan sesuatu dan meningkatkan prestasi dari satu perlumbaan ke perlumbaan lain,” katanya.
EZY