Categories
SELANGOR

Tiada laporan rasmi kematian lebih 800 ayam

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 APR: Kerajaan Negeri tidak menerima laporan rasmi berhubung dakwaan kematian lebih 800 ekor ayam di Selangor akibat fenomena panas melampau baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menyatakan angka terbabit tidak boleh disahkan begitu juga dengan punca cuaca panas itu.

ayam“Bagaimanapun Kerajaan Negeri akan terus memantau perkara ini dan melihat ruang untuk menghulurkan bantuan sekiranya ia benar berlaku,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Maklumbalas daripada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Hulu Selangor juga menjelaskan kadar kematian unggas adalah pada kadar biasa antara tiga hingga tujuh peratus ketika ini.

“Pejabat terbabit menghubungi semua ladang berlesen dan maklumbalas diperoleh tiada kematian unggas luarbiasa daripada fenomena panas itu.

“Kita sedang menunggu laporan dari daerah yang lain,” katanya.

Baru-baru ini, didakwa berlaku kematian lebih 800 ekor ayam di seluruh Selangor akibat fenomena panas melampau sekali gus menjejaskan kadar pengeluaran dan meningkatkan harga jualan.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif berkata penternak mengeluh selepas tiada apa yang boleh dilakukan selain berhadapan kerugian akibat hasil ternakan yang mati.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.