Categories
SELANGOR

Dermasiswa UNISEL realisasi impian pelajar cemerlang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Keluhan pelajar gagal meneruskan pengajian ke peringkat tahun asas ekoran tidak mampu menampung kos pengajian tinggi kini terjawab apabila Skim Dermasiswa diperkenalkan Kerajaan Negeri di Universiti Selangor (UNISEL).

Malah, pelajar ditawarkan skim itu lebih bernasib baik ekoran tidak perlu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti kebanyakan peminjam lain.

Pengarah Pejabat Pemasaran dan Kemasukan UNISEL, Nor Aisyah Md Idris, berkata skim terbabit dijamin mendapat sambutan terutama bagi pelajar kurang berkemampuan.

IMG_9889“Mungkin ramai pelajar yang meminati jurusan Sains dan Teknologi Maklumat terpaksa memendam hasrat kerana kurang mampu ekoran pelajar tahun asas tidak disediakan pinjaman PTPTN.

“Ibu bapa terpaksa mencari sumber kewangan membiayai pengajian anak mereka, justeru skim ini adalah jawapan kepada masalah pembiayaan pelajar tahun asas dan pasti mendapat sambutan,” katanya kepada SelangorKini di Kampus Utama UNISEL di sini, semalam.

Nor Aisyah turut yakin kuota sebanyak 500 pelajar yang disediakan bagi penerima skim itu mampu dipenuhi UNISEL.

Katanya, pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kursus Sains dan Teknologi Maklumat pada Mei nanti boleh memohon skim terbabit.

Pada masa sama, Nor Aisyah menjangkakan UNISEL akan menerima lebih 1,400 permohonan untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

“UNISEL ada membuka peluang untuk 1,400 pelajar baru mengikuti pengajian pelbagai bidang di UNISEL, antaranya pengajian asas, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang terdapat lebih 60 program.

DSC_3759“Untuk pengambilan kali ini, kita mempromosi program ini melalui iklan, menemui sasaran pelajar lepasan SPM, STPM dan lepasan Diploma.

“Pengambilan ini pada 21 Mei untuk program tahun asas dan 4 JunĀ untuk Diploma dan Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Nor Aisyah berkata, selain dilengkapi pelbagai kemudahan, graduan UNISEL turut mempunyai kelebihan dari segi kebolehanpasaran berbanding universiti swasta lain.

“Insha Allah UNISEL mampu memberi yang terbaik dan buktinya kami ada alumni seramai 27,000 dan mereka berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai gaji tertinggi dan menjadi pilihan terbaik majikan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.