Categories
SELANGOR

Dua projek LRA di Selangor tampung permintaan pengguna

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 APRIL: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Labuhan Dagang dan Semenyih 2 bukan projek Gajah Putih, sebaliknya pelaburan strategik bagi menampung permintaan pengguna di Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata walaupun projek Langat 2 siap sepenuhnya pada 2019, namun pengagihan bekalan air hanya terhad di kawasan Cheras, AU2, Ampang dan Bukit Jalil.

ZAIDY DUN“Kerajaan Negeri menegaskan kedua projek terbabit tidak akan menjadi projek gajah putih atau projek pembaziran kerana ia akan digunakan menampung permintaan pengguna.

“Ia diputuskan pembinaannya kerana Kerajaan Negeri memandang serius projek Langat 2 yang hanya siap pertengahan 2019 dan kos RM800 juta membabitkan pembinaan loji rawatan, pengambilalihan tanah dan pemasangan paip serta pembinaan kolam utama,” katanya.

Beliau berkata ketika ketika sesi penggulungan titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, kedua projek akan dilaksanakan pada 1 Jun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan bagi LRA Semenyih 2, manakala Labuhan Dagang dijangka siap pada 30 Jun 2018.

logi_semenyih_mula_ops“Setelah siap, kedua projek ini mampu membekalkan bekalan air sebanyak 300 Juta Liter Sehari (JLH) iaitu sebanyak 200 JLH (Labuhan Dagang) dan 100 JLH (Semenyih 2),” katanya.

Beliau berkata, jika projek itu tidak dilaksanakan, bekalan air dijangka akan mengalami kekurangan sebanyak 125 JLH pada 2018.

Sebaliknya, melalui projek itu, katanya, rizab bekalan air akan mencapai tahap 15 peratus berbanding dua peratus tahun ini.

“Rizab pengeluaran air tanpa sumber air baru dengan andaian air tidak berhasil (NRW) adalah sebanyak 3.5 peratus (2015), 2.2 peratus (2016), 3.9 peratus (2017), 0.7 peratus (2018) dan -3.01 peratus (2019),” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.