Categories
AGAMA

KHUTBAH JUMAAT: Awas! Jangan anda terjebak

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kehadrat Allah SWT dengan
mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sesungguhnya ciri-ciri taqwa yang perlu ada dalam diri setiap orang Islam
ialah tunduk, patuh dan takut dengan larangan Allah dan berhati-hati dari
tergelincir ke lembah kekufuran dan kefasikan demi menjamin kesejahteraan
dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Khatib mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati bersungguh- sungguh khutbah pada hari ini yang bertajuk “AWAS! JANGAN ANDA TERJEBAK.”

Hadirin yang berbahagia sekalian,

Isu ajaran sesat sering mendapat perhatian masyarakat hari ini. Ia
sering didedahkan di dada-dada akhbar dan menjadi viral di media maya
sosial.

Walaupun gerakan penguatkuasaan giat dijalankan, ia masih
mendapat tempat, mempunyai pengikut dan mengancam akidah umat Islam.

ajaransesatHal ini berlaku kerana sejarah ajaran sesat itu sendiri telah mula tumbuh
di zaman Rasululah SAW. Musailamatul Kazzab telah mengaku sebagai nabi
hingga Saidina Abu Bakar memerintahkan agar beliau diperangi habis-habisan.

Di Malaysia ajaran sesat dikatakan mula bertapak di Kampung

Seronok, Pulau Pinang dengan nama ajaran Taslim yang diketuai oleh Hj
Ahmad Matahari. Manakala di Selangor pula ajaran Qadiani yang merupakan
ajaran sesat zaman kolonial dan dikatakan mula bertapak di Jeram, Kuala
Selangor sejak zaman British lagi.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut JAKIM, definisi ajaran sesat ialah sebarang ajaran,fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran, fahaman atau amalan tersebut adalah ajaran Islam walaupun hakikatnya ia bertentangan daripada ajaran Islam berdasarkan Al Quran dan As Sunnah serta bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ia tidak sesat pada luarannya dan sukar dikesan tetapi penyelewengan itu diketahui apabila kita telah masuk dalam kumpulan tersebut.

Sudah sebati dengan ajaran dan terikat dengan bai’ah yang membawa mudarat apabila meninggalkannya sebagaimana diterangkan oleh guru ajaran berkenaan.

Perlu diketahui bahawa ajaran sesat boleh dikesan dalam beberapa ciri,
antaranya;

1. Bentuk ajaran.

Seseorang guru itu membawa atau mencipta ajaran baru yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak. Contohnya mengerjakan haji tidak perlu ke Mekah dan mengerjakan solat fardhu dengan niat sahaja.

2. Berselindung atas nama Tariqat.

Pengasas atau guru biasanya menggunakan nama tariqat yang masyhur
tetapi amalan mereka bertentangan dengan ajaran tariqat yang sebenarnya.

3. Bentuk dan kepercayaan.

Ia berkaitan fahaman atau amalan mistik dan ilmu-ilmu sihir yang sebahagiannya berakar umbi sejak dahulu kala seperti pemujaan tempat atau kubur keramat wali-wali yang kononnya mempunyai kelebihan.

Ia juga berbentuk kepercayaan kepada kuasa sakti seperti dalam amalan seni
persilatan melayu dan ilmu mempertahankan diri. Mempercayai bomoh yang
mendapat ilmu melalui mimpi atau jin dengan amalan menurun dan
pembedahan batin.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita hindari diri kita dari terjebak dengan ajaran-ajaran sesat
tersebut kerana ia akan membawa kesan yang cukup besar dalam kehidupan
kita sebagai seorang Muslim iaitu:

1. Terkeluar daripada Islam;

Seseorang penganut ajaran sesat akan terkeluar dari ajaran Islam apabila ia mengaku dirinya sebagai nabi atau Rasul sesudah Nabi Muhammad SAW. Bahkan umum mengetahui bahawa tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW yang merupakan khataman nabiyyin (penamat segala nabi-nabi).

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya risalah kenabian itu telah habis, maka tidak ada nabi dan rasul la sesudahku”.
(Riwayat Imam Ahmad).

2. Putus hubungan dengan ahli keluarga dan masyarakat di kalangan orang Islam. Sebenarnya jarum halus dakyah-dakyah mereka bermula dengan
mengadakan kelas-kelas pengajian secara sembunyi.

Mereka mendoktrin pengikut bahawa ajaran mereka adalah ajaran yang benar dan guru mereka adalah pemegang anak kunci syurga.

Mereka akan menimbulkan perselisihan hukum dengan qaul yang muktabar dalam pengajian kaum wanita yang akhirnya menimbulkan perkara tidak sehaluan dengan suami.

Oleh kerana fanatik yang melampau dan timbulnya perselisihan pendapat
dengan fatwa-fatwa guru, si isteri memohon cerai. Lalu mereka akan tinggal
dalam kelompok dan perkampungan mereka sendiri dan tidak bercampur
dengan masyarakat luar.

3. Berlaku zalim dan menganiaya orang lain kerana patuh dengan
arahan dan ajaran guru; Ini berlaku dalam memenuhi arahan guru ada antara pengikut yang sanggup menceraikan isterinya walaupun untuk dikahwinkan dengan guru mereka.

Mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan menyerahkan seluruh
pendapatan dari hasil pekerjaan mereka kepada kumpulan mereka atas
nama yang kononnya boleh menebus dosa-dosa silam. Malah mereka lebih
mengutamakan guru dan jemaah hingga mengabaikan tanggungjawab dan
perhatian kepada isteri dan anak-anak.

4. Mengancam keselamatan negara

Kesan ini akan memecahbelahkan masyarakat dan menjadikan negara kucar-kacir. Sebagai contoh bagaimana ajaran sesat telah menyebabkan
kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan menimbulkan kegelisahan di
kalangan masyarakat.

Pernah berlaku pada 16 Oktober 1980, yang mana ada kumpulan ajaran sesat telah mengaku ketua mereka sebagai Imam Mahdi dan telah menyerang Balai Polis Batu Pahat. Ketuanya telah terbunuh dalam serangan tersebut, manakala beberapa pengikutnya dan anggota polis yang bertugas telah mengalami kecederaan akibat tragedi itu.

Terkini ajaran Milah Abraham yang telah difatwakan sesat pada tahun
2015 lalu, telah membina struktur pemerintahan sendiri seperti sebuah
kerajaan yang mempunyai seorang menteri besar dan juga gabenor wilayah.

Ini sudah tentu satu komplot bagi menggulingkan kerajaan sedia ada yang
boleh mengancam keselamatan negara dan mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum ajaran sesat ini menjadi barah yang sukar untuk dibenteras,
marilah sama-sama kita mengambil sikap lebih prihatin untuk mengelak dari
terjebak dengan 37 kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan sesat di
negeri ini.

22 kumpulan masih bergerak aktif dan 6 kumpulan merupakan yang paling aktif iaitu Syiah, Qadiani, Milah Abraham, Hizbut Tahrir, Liberalisme, dan Islamic State, maka usaha pengembelingan tenaga secara jamaie diperlukan oleh seluruh umat Islam dinegeri Selangor ini dalam memastikan akidah umat Islam terus terpelihara berdasarkan panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Hadis daripada Malik Bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat
selama kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah
Nabi”.

(Riwayat Imam Malik).

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita mengambil pengajaran dan penghayatan dari khutbah ini iaitu;

1. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri dari terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah, memusnahkan syariah dan menghancurkan akhlak dan menggugurkan segala amalan yang dilakukan di atas dunia ini hingga boleh menjerumuskan diri kita ke dalam neraka.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada empat sumber hukum iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama berperanan dalam usaha membanteras ajaran sesat sebelum ianya menjadi barah kerana ia bukan sahaja membawa kerosakan kepada individu sahaja bahkan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat, agama dan Negara.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat supaya ajaran sesat tidak mampu berkembang
dan boleh dibanteras.

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka Allah sekali-kali tidak akan dapat menerima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi”.

(Surah ali-Imran : ayat 85).

Leave a Reply

Your email address will not be published.