Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor seru umat Islam contohi sikap Rasulullah mengurus masa

SHAH ALAM, 1 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam agar mencontohi sikap Nabi Muhammad yang sangat menitikberatkan soal kepentingan menguruskan masa.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, Baginda bertitah umat Islam di negeri ini perlu memahami dan menghayati inti pati khutbah jumaat bertajuk ‘Mencari Keberkatan Masa’ yang dibacakan khatib di masjid-masjid seluruh negeri pada 25 Januari lalu.

“Baginda bertitah, umat Islam wajib meneladani Rasulullah yang sangat menitikberatkan soal kepentingan menguruskan masa dalam kehidupan dan sentiasa berpesan agar memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.

“Banyak faktor yang menyebabkan manusia leka dan lalai dalam menguruskan masa. Antara faktor kegagalan kita dalam menguruskan masa dengan sebaiknya ialah tidak memahami matlamat kehidupan di dunia; sikap malas dan sambil lewa; dan sikap suka bertangguh dan membuang masa,” katanya.

Baginda juga berpesan kesemua tabiat buruk tersebut mestilah dihadapi dengan penuh mujahadah melawan diri sendiri.

“Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya diperhambakan oleh hawa nafsu, sebaliknya dialah yang mengawal hawa nafsunya.

“Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati sudah tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan harap individu ambil rasuah dikena hukuman lebih tegas

SHAH ALAM, 8 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bersetuju dengan saranan khutbah Jumaat semalam agar kerajaan membenteras aktiviti rasuah supaya individu yang mengamalkannya dikenakan hukuman lebih tegas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah dengan cara itu golongan terbabit menjadi gerun dan takut apabila pemerintah lebih fokus kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya jenayah tersebut.

“Baginda bertitah rasuah adalah sangat berbahaya dan bala yang besar. Ia sesuatu yang memudaratkan masyarakat, orang Islam dan meletakkan pengurusan dan pentadbiran menjadi tidak stabil.

“Rasuah ini berlaku dalam semua urusan termasuk urusan kehakiman, tanah, percukaian, zakat dan lain-lain, malah dalam perkara yang melibatkan agama dan orang agama,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Tuanku juga menyeru umat Islam negeri ini memahami dan menghayati intipati khutbah berkenaan mengatakan Allah melaknat pengamal rasuah kerana bahayanya yang besar.

“Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh juga seseorang pegawai mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga daripadanya,” titah baginda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan seru umat Islam hayati isi khutbah larangan bunuh diri

SHAH ALAM, 9 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam menghayati intipati khutbah Jumaat hari ini mengenai bunuh diri susulan peningkatan kes berkenaan kebelakangan ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kandungan khutbah yang dibacakan khatib masjid seluruh negeri perlu diketengahkan untuk dijadikan pedoman dan pengajaran.

“Allah SWT melarang hambaNya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milikNya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri.

“Justeru, membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda juga menegaskan perbuatan tersebut adalah dosa besar yang dilarang oleh syarak serta terdapat hadis menyebutkan bagaimana azab yang dikenakan kepada orang yang membunuh diri di akhirat kelak.

Saranan khutbah untuk menghindari perbuatan bunuh diri:

1. Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat.

2. Sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan ujian kerana iai memberi ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan mengelakkan diri dari melakukan perkara lain yang tidak berfaedah.

3. Rawat dukacita dengan doa dengan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

4. Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan individu lain yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan seru waspada terhadap musuh Islam, jangan permain agama

SHAH ALAM, 4 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam berwaspada terhadap musuh Islam yang menjadikan agama suci itu sebagai sasaran.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah demikian seperti yang digariskan dalam khutbah Jumaat pada 2 April lalu yang bertajuk ‘Jangan Hina Islam’.

“Sindiran dan persepsi yang jauh terpesong daripada kebenaran adalah antara bentuk penghinaan yang sering berlaku.

“Fenomena ini disokong oleh perbuatan biadap umat Islam itu sendiri yang bersikap acuh tidak acuh terhadap ilmu agama, malah membiarkan diri dalam kejahilan dan ketirisan akhlak,” titah Baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Baginda turut berdukacita apabila wujud individu yang suka mempermainkan kalimah Allah termasuk keluarkan kenyataan dan pandangan bercanggah dengan akhlak serta akidah Islam.

“Ada yang sanggup melakukan senda gurau terhadap hukum Islam, mempersenda syariat dan peraturan, mempermainkan hukum untuk menghina syariat beragama,” titah Baginda.

Sultan turut menyeru pemimpin perlu sentiasa bersikap tegas sekali gus mengamalkan kepimpinan berlandaskan syariat Islam dan peruntukan perundangan negara.

“Negeri Selangor Darul Ehsan amat mengambil berat berkenaan jenayah menghina dan mempermainkan agama Islam.

“Ingatlah semua! Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di Selangor dan semua negeri lain di Malaysia. Peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan institusinya,” titah Baginda.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Khutbah Jumaat: Bersatu lindungi Islam, jangan permain isu murtad

SHAH ALAM, 19 MAC: Umat Islam di seluruh negara diminta bersatu melindungi agama daripada individu atau kumpulan yang cuba mempermainkan isu murtad.

Memetik khutbah Jumaat bertajuk ‘Berhati-hati dengan ucapan murtad’, perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi memastikan Islam terus dipandang tinggi.

“Jangan jadikan murtad sebagai isu politik sebaliknya ia isu seluruh umat Islam yang cintakan agama. Setiap individu berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan Islam terpelihara dari unsur negatif,” menurut khutbah itu.

Teks diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor mengingatkan ucapan murtad tidak wajar dijadikan kontroversi demi populariti atau simpati kerana ia dianggap sensitif.

Jelasnya, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan besar kepada penutur malah kepentingan Islam, agama dan negara yang dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Pada akhir khutbah, umat Islam diseru menyakini Islam adalah ajaran benar yang membawa kesejahteraan dan wajib dipelihara keharmoniannya serta kemurniaan iman.

“Umat Islam juga perlu sedar iman adalah kurniaan Allah kepada hamba terpilih yang tiada tolok banding nilainya dengan harta seisi dunia,” menurut khutbah itu.

Pada Selasa, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan sikap segelintir umat Islam yang mengeluarkan kata-kata yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpesan apa jua hasrat, percakapan atau perbuatan untuk
meninggalkan Islam dikhuatiri boleh merosakkan asas kepercayaan agama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru rakyat hayati isi khutbah banteras rasuah

SHAH ALAM, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat islam menghayati khutbah Jumaat hari ini berhubung isu rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu amat tepat dan terperinci.

“Dengan tajuk ‘Perasuah Perosak Agama Bangsa’ baginda berpandangan ia (khutbah) amat tepat dan terperinci serta boleh menjadi peringatan memandangkan situasi rasuah di negara ini yang kian meruncing,” kata Selangor Royal Office di Facebook.

Semalam, Sultan Selangor dilaporkan bertitah supaya pelaku rasuah dibanteras segera bersandarkan bukti kukuh dan pengadilan di mahkamah.

Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Antara intipati khutbah Jais hari ini:

– Rasuah punca kehancuran sesebuah tamadun bangsa dan negara.

– Memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan kejam terhadap sistem kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

– Islam menetapkan rasuah adalah perbuatan dosa besar.

– Sumber rasuah adalah haram dan tidak berkat serta menjadi punca tidak mendapat kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat.

– Rakyat hilang keyakinan kepada pemerintah, negara kehabisan wang hingga terpaksa menanggung hutang.

– Islam melaknat dan memberi ancaman neraka terhadap orang yang memberi dan menerima rasuah.

– Ketidaktentuan politik dan ketidakstabilan ekonomi semasa akan membawa kehancuran yang dahsyat kepada ummah dan negara.

– Umat Islam sepatutnya dihormati, dijadikan contoh, ikon dan panduan kepada bukan Islam, sebaliknya kini dipandang keji, hina dan sebagai faktor rosaknya kelangsungan negara yang aman, damai, membangun dan sejahtera.

– Pemimpin politik beragama Islam diingatkan tidak menjadi pembuka ruang dan jalan kepada perbuatan rasuah demi kepentingan kedudukan dan kuasa.

– Perangi rasuah bersama, buang sifat tamak dan pentingkan diri sendiri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Khutbah: Hargai ‘pahlawan’ perangi Covid-19, jangan perlekeh tugas

SHAH ALAM, 24 JULAI: Umat Islam diminta menjauhi sikap mencaci, memperlekeh tugas dan tidak mempeduli arahan pihak berkuasa yang merosakkan negara.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Pahlawan Sebenar’ diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor turut meminta rakyat menghargai pahlawan negara yang berusaha memutuskan rantaian Covid-19 demi kesejahteraan semua.

“Semangat perjuangan yang tidak putus-putus hendaklah disemai dan ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini, didiklah mereka dengan semangat berkorban dan disiplin tinggi seperti ditunjukkan pahlawan negara.

“Kasihi pahlawan negara yang bertugas tanpa mengira masa, tempat, cuaca dan keadaan apa sekalipun asalkan negara dalam keadaan aman, harmoni dan selamat,” katanya.

Kandungan khutbah menjelaskan pahlawan bukan sekadar berjuang mengangkat senjata tetapi sanggup berkorban menjaga ketenteraman ketika negara diancam wabak.

“Begitu besar peranan mereka untuk kesejahteraan dan kesihatan kita semua, justeru bersyukurlah kepada Allah yang mengurniakan pahlawan berjasa kepada negara kita malah sanggup berkorban, menggadai nyawa demi kita semua,” katanya.

Mengakhiri khutbah, pahlawan negara disifatkan golongan yang ikhlas dalam perjuangan dan berharap diberi ganjaran berterusan oleh Allah.

“Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya (Riwayat Al-Bukhari), begitulah tingginya martabat seorang pahlawan diberikan oleh Allah kerana pengorbanan dan perjuangan mereka,” katanya.

Categories
AGAMA

KHUTBAH JUMAAT: Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan tegahanNya.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang-orang Muttaqin yang mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Pada saat penuh keberkatan ini marilah kita mendengar dan menghayati khutbah Jumaat bertajuk; “BERLUMBA-LUMBA MELAKUKAN KEBAIKAN”.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Berlumba-lumba melakukan kebaikan adalah satu suruhan Allah SWT dan galakan terhadap hambaNya yang beriman supaya sentiasa melaksanakannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148;

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).  Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Di sini jelaslah Islam adalah satu agama mengutamakan perkara kebaikan dan menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba melakukannya.

Kebaikan dalam Islam adalah segala perbuatan baik dan bertepatan dengan syariat bahkan diredhai Allah SWT.

Ia mencakupi aspek ibadah dan hal kemasyarakatan atau “hablum min Allah” (hubungan dengan Allah) dan “hablum min an-Nas (hubungan dengan manusia).

Jadi beriman kepada Allah dan mentaatinya adalah satu kebaikan, keikhlasan niat dan beramal dengan ikhlas adalah satu kebaikan dan melakukan kebaikan sesama manusia adalah satu kebaikan.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Fitrah atau sifat semulajadi manusia sukakan kejayaan dan kemenangan, tiada seorang pun manusia waras mahukan kegagalan.

Kalah atau menang, berjaya atau gagal adalah resam kehidupan. Lazimnya, sesiapa yang berusaha dialah yang berjaya.

Untuk berjaya pula perlukan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Semangat ini hendaklah ditanam dan disuburkan dalam hati setiap orang yang beriman.

Justeru dalam melaksanakan kebaikan, janganlah kita berlengah-lengah atau bertangguh tangguh, laksanakanlah amalan soleh semasa lapang sebelum sibuk, semasa sihat sebelum sakit, semasa hidup sebelum mati dan sebelum datangnya halangan yang akan berlaku di hadapan kita yang tidak kita ketahui.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersegeralah mengerjakan amal-amal soleh, kerana akan berlaku satu fitnah seperti malam yang sangat gelap. Dalam keadaan itu terdapat juga orang yang disebelah paginya sebagai seorang mukmin dan sebelah petangnya kafir. Begitulah sebaliknya, disebelah petang mukmin dan di sebelah paginya kafir. Dia menjual agamanya kerana kepentingan dunia yang sedikit” (Riwayat Muslim).

Muslimin yang dirahmati Allah,

Berlumba-lumba melakukan kebaikan hendaklah berdasarkan keupayaan masing-masing, tidak kira di mana ia berada dan apa jua bidang diceburinya.

Misalnya, seorang pensyarah di pusat pengajian tinggi atau guru di sekolah, hendaklah menyampaikan ilmunya kepada pelajar atau muridnya dengan sebaik mungkin.

Seorang doktor hendaklah melakukan yang terbaik semasa menjalankan tugas merawat pesakit, kakitangan awam atau swasta hendaklah berdedikasi dan berinovasi dalam menjalankan tugasnya, seorang petani hendaklah bersungguh-sungguh mendapatkan hasil pertaniannya dan seorang pemimpin hendaklah menjalankan tugas kepimpinannya sebaik mungkin.

Pendek kata, Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa berlumba-lumba melakukan amal yang baik mengikut kemampuan, bakat dan kepakaran masing -masing.

Oleh itu, berlumba-lumbalah dan bekerjalah dengan bersungguhsungguh dan amanah serta berdedikasi, kerana segala kebaikan yang dilakukan semasa di dunia ini akan dihisab Allah SWT dan dipaparkan kepada umum di akhirat kelak serta diberikan ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukan.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Orang yang beriman dan beramal soleh adalah sebaik-baik umat, kerana ia akan mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah dan beroleh kebahagiaan dan kenikmatan yang tidak ada bandingannya di akhirat kelak.

Mereka akan selamat daripada azab Allah SWT dan ditempatkan dalam syurga yang penuh nikmat sebagai ganjaran atas segala amalan kebaikan yang dilakukan di dunia.

Inilah janji Allah SWT. Oleh itu bersegeralah mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapatkan keredaan dan ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Segeralah beramal dengan amalan kebaikan sebelum tiba tujuh perkara. Apakah yang kamu nantikan selain papa yang melupakan atau kekayaan yang menyombongkan atu penyakit yang merosakkan atau tua yang nyanyuk atau mati dengan tiba-tiba atau tibanya dajjal yang merupakan sejahat-jahat makhluk yang di tunggu-tunggu atau datangnya hari kiamat. Maka hari kiamat itu adalah lebih berat dan lebih mengerikan”.
(Riwayat at-Tirmizi)

Ingatlah wahai orang yang beriman! Harta kekayaan, anak pinak yang ramai, pangkat kebesaran dan kekuasaan adalah kurniaan Allah SWT kepada hambanya yang merupakan suatu ujian, sama ada ia bersyukur dengan mentaati Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya atau hanyut dan lalai dibuai kemewahan duniawi.

Allah SWT menjelaskan bahawa orang beriman yang berlumba-lumba melakukan kebaikan semasa hidupnya adalah orang yang berjaya dan berada dalam barisan hadapan dalam kalangan umat lain.

Sebagaimana firmanNya dalam surah al-Mukminun ayat 61;

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya”
.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Mengakhiri khutbah ini, mimbar ingin mengingatkan seluruh umat Islam supaya melaksanakan perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah meyakini kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku dan segala amalan di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kebahagiaan di akhirat bergantung kepada amalan-amalan kebaikan semasa di dunia. Oleh itu berlumba-lumbalah melakukan amalan kebaikan semasa di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah melaksanakan amalan-amalan fardhu dan ditambahkan dengan amalan-amalan sunat terutama sekali dalam bulan Ramadan yang bakal tiba ini.

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa”.
(Surah ali-Imran; 133).

Categories
AGAMA

KHUTBAH JUMAAT: Bahagiakanlah ibu dan ayahmu

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan akhirat merupakan milik manusia yang bertakwa dan kecelakaan serta kerugian pula adalah milik manusia yang menderhakakan Allah. Oleh itu, marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Khatib pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “BAHAGIAKANLAH IBU DAN AYAHMU”.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Ayat yang dibaca pada permulaan khutbah ini iaitu Surah Luqman ayat
14 yang bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya yang telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah (dari awal mengandung hingga akhir susuannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu serta kepada Aku jua tempat kembali”.

Berdasarkan ayat ini, Allah telah mewajibkan kepada semua manusia untuk mengasihi dan membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dengan penuh kasih sayang kerana sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka sungguh tidak terkira.

Namun kini, jika kita perhatikan di dada-dada akhbar, berita mengenai anak derhaka, anak mengusir ibu, anak mengacu pisau ke arah ibu, menjadi satu fenomena biasa.

Benarlah, antara salah satu tanda kiamat ialah ramainya golongan manusia yang menjadi anak derhaka. Di manakah rasa hormat dan belas kasihan pada ibu bapa yang sanggup  bergadai nyawa demi anak-anak?

 

Betapa luluhnya hati seorang ibuapabila diperlakukan sedemikian rupa oleh anak kandungnya sendiri. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan tersebut.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Marilah sama-sama kita membuka mata ahli keluarga kita dan masyarakat supaya mengasihi kedua-dua ibu bapa, renungilah setiap pengorbanan serta titisan peluh ibu bapa yang mengalir untuk menjaga kita sejak kecil hingga dewasa.

Insan yang tersayang yang bergelar ibu, merupakan insan yang mengandungkan kita, melahirkan serta membesarkan serta mendidik kita hingga menjadi dewasa. Begitu juga dengan seorang ayah, yang merupakan insan yang sedikit pun tidak mengeluh walaupun penat bekerja mencari rezeki demi menyara kehidupan keluarga. Betapa besarnya pengorbanan mereka kepada kita.
Dalam melayari kehidupan ini, tanpa mereka berdua siapalah kita. Tanpa ibu bapa, tidak mungkin kita dapat melihat dunia ini. Maka, tanyalah diri kita, wajarkah kita melukakan hati mereka?

Wajarkah kita membiarkan mereka begitu sahaja menghabiskan hari-hari tua mereka? Oleh sebab itu, Allah telah memerintahkan kita supaya mensyukurinya dengan menghargai pengorbanan ibubapa.

Muslimin yang dikasihi Allah sekalian,

Mentaati ibu bapa dan berbuat baik kepada mereka adalah sebesarbesar
kebajikan yang menghampirkan seorang hamba kepada penciptaNya.

Sikap ini akan menambahkan lagi kasih sayang terhadap mereka. Benar, ibu
bapa tidak mengharapkan balasan wang ringgit serta kemewahan daripada
anak-anak mereka, sebaliknya mereka hanya mengharapkan perhatian dan
kasih sayang daripada anak-anak sahaja.

Apabila sempurnanya kasih  sayang serta perhatian dalam keluarga, akhirnya akan terbinanya masyarakat yang soleh, penuh kasih sayang dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Hadis daripada al-Miqdam Bin Ma’di Karib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berbakti) dengan ibu–ibumu (diulang tiga kali), sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berbakti) kepada bapa-bapa kamu, sesungguhnya Allah berwasiat kepada kamu (untuk berlaku baik) kepada keluarga yang terdekat, maka utamakanlah yang lebih dekat”.

(Riwayat Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa orang yang paling utama untuk kita taati, berbakti dan berbuat baik ialah ibu kita. Setelah itu, berlaku baik kepada ayah kita dan seterusnya ialah ahli keluarga kita yang terdekat.

Hal ini tidak dapat dinafikan lagi, ibulah insan yang paling banyak berkorban dan bersusah payah untuk memberikan yang terbaik untuk kita, ibulah yang mempertaruhkan nyawanya untuk melahirkan kita, menderita dan bersusah payah membesarkan kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat yang bermaksud;

Apakah tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapanya?” sabda baginda SAW; Mereka berdua adalah syurgamu ataupun nerakamu”.

(Riwayat Ibnu Majah).

Hadis ini menjelaskan kepada kita akan tanggungjawab yang perlu kita galas dan laksanakan terhadap ibu bapa. Hal ini kerana sikap kita terhadap ibu bapa merupakan penyebab sama ada, syurgakah atau neraka tempat kembalinya kita.

Dalam memperkatakan hal ini, hadis daripada Muawiyah Bin Jahimah as-Sulami RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Lazimilah (mentaati dan berbakti) kepada ibu kamu kerana syurga itu
di bawah tapak kakinya”
(Riwayat An-Nasaie).

Hadirin yang berbahagia sekalian,

Benar, setiap perbuatan itu ada balasannya. Allah telah menjanjikan kebaikan yang tidak terkira terhadap ketaatan dan amal bakti yang dicurahkan oleh seorang anak kepada ibu bapanya. Antaranya,

Pertama; Mentaati ibu bapa, dapat menambahkan umur dan meluaskan rezeki.

Hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud;

“Sesiapa yang suka bahawa dilanjutkan usianya dan ditambah
rezekinya hendaklah ia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya dan
menyambungkan kasih sayangnya (iaitu terhadap mereka)”.
(Riwayat Imam Ahmad).

Kedua; Berbakti kepada ibu bapa menghapuskan dosa.

Hadis daripada Ibnu Umar RA menceritakan bahawa seorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah SAW lalu berkata, “wahai Rasulullah!, bolehkah aku bertaubat?” maka baginda bersabda, “adakah kamu mempunyai ibu?” Jawab lelaki itu, “tiada”. Lalu, baginda bertanya lagi, “adakah kamu mempunyai ibu saudara perempuan?” jawabnya, “ya!”. Sabda baginda “berbaktilah kepadanya”.
(Riwayat at-Tirmizi).

Oleh yang demikian, amat jelas sekali, betapa pentingnya berbakti kepada ibu bapa, meskipun kepada saudara ibu bapa. Hal ini kerana dengan berbakti, seorang anak dapat menghapuskan dosa-dosa besar.

Ketiga; Berbakti kepada ibu bapa menjamin masuk syurga.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud;

“Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia,”. Lalu baginda ditanya:
“Siapa ya Rasulullah?” jawab Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mendapati
kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang daripada
keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan memelihara
orang tuanya sebaik-baiknya).

(Hadis Riwayat Muslim).

Hadirin Jumaat yang dihormati sekalian,

Islam amat menitikberatkan tentang syariat berbakti kepada ibu bapa
melebihi segala-galanya sehinggakan ia mestilah didahulukan daripada jihad
di jalan Allah.

Hadis daripada Abdullah B. Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan meminta izin untuk turut
serta dalam berjihad. Nabi SAW bertanya kepadanya: “Apakah kedua orang
tuamu masih hidup?” lelaki tersebut menjawab “ya, mereka masih hidup”.
Baginda SAW bersabda, “Berbakti kepada keduanya adalah jihad”.
(Riwayat Imam Muslim).

Muslimin yang berbahagia,

Menelusuri khutbah pada hari ini, maka kita sebagai umat Islam hendaklah;

1. Mentaati dan mematuhi kedua ibubapa melebihi segala-galanya selagi mana mereka tidak menderhakai Allah SWT.

2. Mengutamakan kasih saying terhadap ibubapa dengan menghormati dan membalas jasa mereka.

3. Umat Islam dilarang menyakiti hati ibubapa kerana balasannya adalah neraka Allah SWT.

“Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau keduaduanya
sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
(Surah al-Isra’ : 23)

Categories
AGAMA

KHUTBAH JUMAAT: Mengenali beberapa golongan perosak

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat
yang dikasihi sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan
melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sesungguhnya orang yang termulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling

bertaqwa. Marilah kita berterusan mengamalkan dan mentaati segala
perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita akan
dirahmati oleh Allah SWT dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat kelak,

InsyaAllah.

Mimbar Jumaat hari ini ingin mengajak para Jemaah sekalian untuk
menghayati khutbah yang bertajuk “MENGENALI BEBERAPA GOLONGAN
PEROSAK”.

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

KhutbahAl-Quran menggunakan kata fasad (kerosakan) dengan makna yang
luas yang secara umum bermaksud apa-apa jua jenis kerosakan di muka
bumi yang berupa pelbagai aktiviti yang dilarang oleh Allah SWT.

Dengan demikian, setiap orang yang melakukan apa sahaja kemaksiatan,
kemungkaran atau kejahatan samada besar maupun kecil, bererti telah
berbuat kerosakan. Ini dijelaskan pada maksud ayat yang dibacakan di
permulaaan khutbah ini iaitu surah al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang
bermaksud;

“Dan apabila dikatakan kepada mereka, “janganlah kamu membuat
kerosakan di muka bumi”. Mereka menjawab, “sesungguhnya kami hanya
orang yang membuat kebaikan.

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Imam at-Tobari menyatakan bahawa yang dimaksud dengan fasad
adalah kekufuran dan segala aktiviti kemaksiatan. Bermakna sebarang
aktiviti yang membawa kepada penyelewengan aqidah, boleh membawa
kepada kekufuran dan ini juga merupakan satu kerosakan yang sangat berat.

Dalam al-Quran terdapat orang-orang atau kelompok orang yang secara
langsung digolongkan sebagai para pembuat kerosakan, antara lain adalah;

1. Pemerintah-pemerintah yang zalim.

Ini dijelaskan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 4;

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui
batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak (untuk berkhidmat
dengannya). Dia menindas segolongan daripadanya (iaitu Bani Israel)
dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anakanak

perempuan mereka. Sesungguhnya dia daripada golongan yang
membuat kerosakan”.

Oleh yang demikian, sesiapa yang berperilaku seperti perilaku Firaun
yang melanggari perintah Allah SWT, memecah belah kesatuan dan
perpaduan umat, menindas golongan yang lemah, mengugut dan memaksa
orang ramai supaya mematuhi sesuatu perintah walaupun salah dari segi
syariat, membunuh jiwa-jiwa manusia yang tidak bersalah.

Melakukan pelbagai jenis penganiayaan, kezaliman dan sering berprasangka adalahtermasuk dalam golongan orang-orang yang berbuat kerosakan. Begitulah juga pemerintah-pemerintah zalim yang ada sepanjang zaman adalah antara golongan perosak di muka bumi Allah ini.

2. Orang-orang yang tidak beriman dan ingkar kepada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 40;

“Antara mereka ada yang beriman kepada al-Quran dan ada antara
mereka yang langsung tidak beriman kepadanya. (Ingatlah), Tuhanmu lebih
mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan”.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Orang-orang yang tidak beriman lagi ingkar juga dianggap melakukan
kerosakan kerana mereka enggan mematuhi perintah Allah SWT. Apabila
mereka enggan atau ingkar mematuhi syariat Islam sudah pasti mereka akan melakukan pelbagai perbuatan yang bertentangan dengan peraturan syariat.

Disinilah berlakunya pelbagai kerosakan. Malahan ada antara mereka yang
secara terbuka melakukan dan menganjurkan perbuatan-perbuatan mungkar seperti berjudi, membuka pusat-pusat perjudian, minum arak, menganjurkan pesta-pesta minum arak, menipu, mencuri dan apa sahaja kejahatan serta kemaksiatan yang lain.

3. Orang munafik.

Golongan munafik ialah mereka yang berpura-pura beriman, menyembunyikan kekufurannya dan sentiasa merancang melakukan kerosakan terhadap agama Islam.

Hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Ada empat perkara, sesiapa yang memilikinya maka ia adalah seorang
munafik tulen. Sesiapa yang memiliki satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya.

(Empat sifat itu ialah) apabila diberi kepercayaan ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran”.

(Riwayat Imam Ahmad).

4. Tukang fitnah.

Fitnah adalah merupakan tuduhan palsu yang diada-adakan yang berniat jahat untuk mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang yang boleh merosakkan keharmonian dan akhirnya menyebabkan terputusnya silaturrahim dalam keluarga dan masyarakat. Ianya sering dilakukan melalui perkataan, tulisan atau perbuatan. Bahkan si pembuat fitnah dikatakan juga sebagai mengadu domba.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 27

(Iaitu) orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
dihubungkan (beriman dan menghubungkan silaturrahim dengan Nabi
SAW),serta mereka pula membuat kerosakan (dengan melakukan maksiat)
di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi (kerana dimasukkan ke
dalam neraka selama-lamanya)”.

Sesungguhnya fitnah membawa kerosakan kepada masyarakat sebaik
sahaja mereka mempercayai akan fitnah tersebut kerana fitnah bukan sahaja menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh mencetuskan
perpecahan dan huru-hara, malahan pembuat fitnah tidak akan masuk
syurga sepertimana sebuah hadis daripada Huzaifah RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda;

“Tidak masuk syurga orang-orang yang suka memfitnah (mengadu
domba).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai kesimpulannya, mimbar pada hari ini menyeru supaya;

1. Umat Islam hendaklah berwaspada dan menjauhi golongan perosak yang boleh menjejaskan akidah.

2. Umat Islam hendaklah mengenal pasti ciri-ciri golongan perosak yang telah dihuraikan dalam khutbah ini.

3. Umat Islam hendaklah membersihkan hati dan jiwa supaya tidak menjadi golongan perosak dalam masyarakat dan selamat hidup di dunia dan akhirat.

“Antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepadamu).

Kemudian apabila dia beredar (setelah mendapat hajatnya), dia berjalanlah di bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada kerosakan”.

(Surah al-Baqarah : 204-205

Categories
AGAMA

KHUTBAH JUMAAT: Awas! Jangan anda terjebak

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kehadrat Allah SWT dengan
mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sesungguhnya ciri-ciri taqwa yang perlu ada dalam diri setiap orang Islam
ialah tunduk, patuh dan takut dengan larangan Allah dan berhati-hati dari
tergelincir ke lembah kekufuran dan kefasikan demi menjamin kesejahteraan
dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Khatib mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati bersungguh- sungguh khutbah pada hari ini yang bertajuk “AWAS! JANGAN ANDA TERJEBAK.”

Hadirin yang berbahagia sekalian,

Isu ajaran sesat sering mendapat perhatian masyarakat hari ini. Ia
sering didedahkan di dada-dada akhbar dan menjadi viral di media maya
sosial.

Walaupun gerakan penguatkuasaan giat dijalankan, ia masih
mendapat tempat, mempunyai pengikut dan mengancam akidah umat Islam.

ajaransesatHal ini berlaku kerana sejarah ajaran sesat itu sendiri telah mula tumbuh
di zaman Rasululah SAW. Musailamatul Kazzab telah mengaku sebagai nabi
hingga Saidina Abu Bakar memerintahkan agar beliau diperangi habis-habisan.

Di Malaysia ajaran sesat dikatakan mula bertapak di Kampung

Seronok, Pulau Pinang dengan nama ajaran Taslim yang diketuai oleh Hj
Ahmad Matahari. Manakala di Selangor pula ajaran Qadiani yang merupakan
ajaran sesat zaman kolonial dan dikatakan mula bertapak di Jeram, Kuala
Selangor sejak zaman British lagi.

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut JAKIM, definisi ajaran sesat ialah sebarang ajaran,fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran, fahaman atau amalan tersebut adalah ajaran Islam walaupun hakikatnya ia bertentangan daripada ajaran Islam berdasarkan Al Quran dan As Sunnah serta bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ia tidak sesat pada luarannya dan sukar dikesan tetapi penyelewengan itu diketahui apabila kita telah masuk dalam kumpulan tersebut.

Sudah sebati dengan ajaran dan terikat dengan bai’ah yang membawa mudarat apabila meninggalkannya sebagaimana diterangkan oleh guru ajaran berkenaan.

Perlu diketahui bahawa ajaran sesat boleh dikesan dalam beberapa ciri,
antaranya;

1. Bentuk ajaran.

Seseorang guru itu membawa atau mencipta ajaran baru yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak. Contohnya mengerjakan haji tidak perlu ke Mekah dan mengerjakan solat fardhu dengan niat sahaja.

2. Berselindung atas nama Tariqat.

Pengasas atau guru biasanya menggunakan nama tariqat yang masyhur
tetapi amalan mereka bertentangan dengan ajaran tariqat yang sebenarnya.

3. Bentuk dan kepercayaan.

Ia berkaitan fahaman atau amalan mistik dan ilmu-ilmu sihir yang sebahagiannya berakar umbi sejak dahulu kala seperti pemujaan tempat atau kubur keramat wali-wali yang kononnya mempunyai kelebihan.

Ia juga berbentuk kepercayaan kepada kuasa sakti seperti dalam amalan seni
persilatan melayu dan ilmu mempertahankan diri. Mempercayai bomoh yang
mendapat ilmu melalui mimpi atau jin dengan amalan menurun dan
pembedahan batin.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita hindari diri kita dari terjebak dengan ajaran-ajaran sesat
tersebut kerana ia akan membawa kesan yang cukup besar dalam kehidupan
kita sebagai seorang Muslim iaitu:

1. Terkeluar daripada Islam;

Seseorang penganut ajaran sesat akan terkeluar dari ajaran Islam apabila ia mengaku dirinya sebagai nabi atau Rasul sesudah Nabi Muhammad SAW. Bahkan umum mengetahui bahawa tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW yang merupakan khataman nabiyyin (penamat segala nabi-nabi).

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya risalah kenabian itu telah habis, maka tidak ada nabi dan rasul la sesudahku”.
(Riwayat Imam Ahmad).

2. Putus hubungan dengan ahli keluarga dan masyarakat di kalangan orang Islam. Sebenarnya jarum halus dakyah-dakyah mereka bermula dengan
mengadakan kelas-kelas pengajian secara sembunyi.

Mereka mendoktrin pengikut bahawa ajaran mereka adalah ajaran yang benar dan guru mereka adalah pemegang anak kunci syurga.

Mereka akan menimbulkan perselisihan hukum dengan qaul yang muktabar dalam pengajian kaum wanita yang akhirnya menimbulkan perkara tidak sehaluan dengan suami.

Oleh kerana fanatik yang melampau dan timbulnya perselisihan pendapat
dengan fatwa-fatwa guru, si isteri memohon cerai. Lalu mereka akan tinggal
dalam kelompok dan perkampungan mereka sendiri dan tidak bercampur
dengan masyarakat luar.

3. Berlaku zalim dan menganiaya orang lain kerana patuh dengan
arahan dan ajaran guru; Ini berlaku dalam memenuhi arahan guru ada antara pengikut yang sanggup menceraikan isterinya walaupun untuk dikahwinkan dengan guru mereka.

Mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan menyerahkan seluruh
pendapatan dari hasil pekerjaan mereka kepada kumpulan mereka atas
nama yang kononnya boleh menebus dosa-dosa silam. Malah mereka lebih
mengutamakan guru dan jemaah hingga mengabaikan tanggungjawab dan
perhatian kepada isteri dan anak-anak.

4. Mengancam keselamatan negara

Kesan ini akan memecahbelahkan masyarakat dan menjadikan negara kucar-kacir. Sebagai contoh bagaimana ajaran sesat telah menyebabkan
kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan menimbulkan kegelisahan di
kalangan masyarakat.

Pernah berlaku pada 16 Oktober 1980, yang mana ada kumpulan ajaran sesat telah mengaku ketua mereka sebagai Imam Mahdi dan telah menyerang Balai Polis Batu Pahat. Ketuanya telah terbunuh dalam serangan tersebut, manakala beberapa pengikutnya dan anggota polis yang bertugas telah mengalami kecederaan akibat tragedi itu.

Terkini ajaran Milah Abraham yang telah difatwakan sesat pada tahun
2015 lalu, telah membina struktur pemerintahan sendiri seperti sebuah
kerajaan yang mempunyai seorang menteri besar dan juga gabenor wilayah.

Ini sudah tentu satu komplot bagi menggulingkan kerajaan sedia ada yang
boleh mengancam keselamatan negara dan mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Sebelum ajaran sesat ini menjadi barah yang sukar untuk dibenteras,
marilah sama-sama kita mengambil sikap lebih prihatin untuk mengelak dari
terjebak dengan 37 kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan sesat di
negeri ini.

22 kumpulan masih bergerak aktif dan 6 kumpulan merupakan yang paling aktif iaitu Syiah, Qadiani, Milah Abraham, Hizbut Tahrir, Liberalisme, dan Islamic State, maka usaha pengembelingan tenaga secara jamaie diperlukan oleh seluruh umat Islam dinegeri Selangor ini dalam memastikan akidah umat Islam terus terpelihara berdasarkan panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Hadis daripada Malik Bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat
selama kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah
Nabi”.

(Riwayat Imam Malik).

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita mengambil pengajaran dan penghayatan dari khutbah ini iaitu;

1. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri dari terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah, memusnahkan syariah dan menghancurkan akhlak dan menggugurkan segala amalan yang dilakukan di atas dunia ini hingga boleh menjerumuskan diri kita ke dalam neraka.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada empat sumber hukum iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama berperanan dalam usaha membanteras ajaran sesat sebelum ianya menjadi barah kerana ia bukan sahaja membawa kerosakan kepada individu sahaja bahkan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat, agama dan Negara.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat supaya ajaran sesat tidak mampu berkembang
dan boleh dibanteras.

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka Allah sekali-kali tidak akan dapat menerima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi”.

(Surah ali-Imran : ayat 85).