Categories
SELANGOR

LZS serah bantuan zakat RM2.1 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM2.1 juta kepada individu dan organisasi.

Bertempat di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini, Majlis Anugerah dan Perhargaan serta Sumbangan Zakat disempurnakan Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) menerima sumbangan zakat tertinggi berjumlah RM2 juta bagi Program Sekolah Angkat (PROSA) untuk disalurkan kepada 146 sekolah di seluruh Selangor.

cemerlangLZS 1Program dengan usahasama LZS itu memfokuskan kepada anak asnaf fakir dan miskin menyertai aktiviti seperti kelas tambahan, kursus motivasi, kem sahsiah diri dan sebagainya.

Sementara itu, dua individu menerima bantuan perubatan iaitu Shahrin Abdul Rahman yang menerima RM60,000 untuk kos rawatan dua anaknya yang menghidap ‘Syndrome Hunter’ dan Mohd Fauzi Yahya (RM38,497) untuk anaknya yang menghidapi komplikasi pernafasan.

Penerima individu lain adalah Siti Hamimah Bakiri yang menerima bantuan pembinaan rumah baru berjumlah RM51,000 sementara Sakinah Ghulam Hussain pula menerima bantuan perniagaan berjumlah RM27,000.

“Dengan berkat bantuan LZS, saya kini mempunyai restoran sendiri di Seksyen 7 menjual makanan nasi beriani dengan pendapatan bersih RM2,000 sebulan,” kata Sakinah kepada SelangorKini.

hamza ali mark short-LZSSelain 13 anugerah penghargaan, majlis sama turut memberi empat Anugerah Khas meliputi Kategori Transformasi, Ejen Kutipan, Perniagaan dan Potongan Gaji.

“Saya bersyukur sudah keluar daripada kategori asnaf dan kini mampu membayar zakat untuk mereka yang kurang bernasib baik dalam melayari hidup yang berkos tinggi hari ini,” kata penerima Anugerah Khas (Transformasi), Hamzah Ali Barkat.

Bapa kepada enam anak ini mula menerima bantuan zakat pada 2004 sehingga mampu memulakan perniagaan menjual makanan di Batang Kali.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.