Categories
SELANGOR

Perbanyakkan program pendidikan didik masyarakat celik ilmu

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 APR: Pelbagai program berbentuk pendidikan perlu diperbanyakkan untuk disertai orang ramai ke arah membentuk masyarakat gemar membaca dan celik ilmu.

Penganjurannya tepat dengan perkembangan semasa dan bersesuaian dengan status Selangor sebagai negeri maju yang memerlukan rakyat khususnya generasi muda berpengetahuan dan bermahiran tinggi bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri menerusi dasar #SmartSelangor.

Karnival Buku SACC Mall (ASRI) (3)Pengunjung, Fahmi Abas, 30, dari Petaling Jaya, berkata program dan aktiviti sebegitu amat diperlukan dewasa ini dan banyak memberi manfaat kepada orang ramai.

“Program ilmu seperti membaca ini amat baik dan sekadar tertumpu di bandar sahaja malah patut diadakan di seluruh negeri supaya dapat disertai ramai orang.

“Dengan diselit aktiviti menarik ia mampu menarik minat pelbagai golongan untuk turut serta,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui dalam festival Buku dan Kanak-Kanak 2016 (FESBUK’16) di SACC Mall di sini, semalam.

Program anjuran PKNS Estate Sdn Bhd (PREC) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menampilkan kelainan dengan mengajak masyarakat membaca sambil beramal dengan cara mengumpulkan buku terpakai untuk disumbangkan kepada pihak tertentu seperti rumah kebajikan.

Nurul Najah Aqilah Ahmad Noh, 22, berkata festival terbabit amat berguna khususnya kepada kanak-kanak bagi memupuk minat membaca kerana turut diadakan aktiviti sampingan menarik.

“Sebagai anak muda, saya suka program seperti FESBUK’16 diadakan secara kerap oleh pihak berwajib tidak hanya tertumpu satu golongan tetapi juga untuk semua kerana didapati agak kurang termasuk di peringkat universiti untuk pelajar.

“Mungkin boleh dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak dalam pendekatan menarik dan berfaedah,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu.

Syamimie Zakaria, 23, dari Casamas Resourses Sdn Bhd, Bangi, berkata program dianjurkan membuka ruang kepada pihak pempamer mendekati pengguna dengan produk terbitannya serta bahan bacaan diperlukan.

“Progam seperti FESBUK’16 bagus dan boleh mengumpulkan kanak-kanak bersama ibu bapa dengan pengisian masa yang bijak.

“Bagaimanapun ia perlu diseimbangkan dengan penganjur mengadakan aktiviti membabitkan semua pihak berkaitan termasuk pempamer demi faedah bersama,” katanya menyokong usaha PREC dan PPAS itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.