Categories
SELANGOR

Piala AFC: Laluan Selangor kian sukar

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 APRIL: Keputusan seri tanpa jaringan bertemu Ceres La Salle FC malam tadi menyukarkan Selangor untuk mara ke pusingan kedua dalam saingan Piala AFC kali ini.

Kegagalan barisan penyerang The Red Giants mencipta gol daripada peluang diperoleh nyata menghampakan penyokong yang mengharapkan penyandang juara Piala Malaysia mencatat kemenangan.

Misi skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk meraih tiga mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang tidak kesampaian dan ia tambah memeritkan apabila Patrick Ronaldinho Wleh ditimpa kecederaan.

selngorceres 3Zainal terpaksa menukar strategi permainan dengan memasukkan Adam Nor Azlin pada minit ke 20 bagi menggantikan penjaring terbanyak pasukan itu.

Dalam separuh masa pertama, permainan agak perlahan dengan kelab Filipina itu kelihatan banyak bertahan dan percubaan Andik Vermanshah (m12) gagal menepati sasaran.

Mauro Olivi (m43) juga gagal mengecewakan penjaga gol lawan, Louie Casas, dengan sepakan leretnya tersasar keluar.

Selangor menggandakan asakan dalam separuh masa kedua tetapi tidak banyak dapat dilakukan dengan Ceres La Salle FC terus mengukuhkan benteng pertahanan mereka.

Hasrat The Red Giants untuk mendahului lawan tidak kesampaian apabila gol jaringan Azrif Nasrulhaq (m73) tidak dikira kerana pemain itu offside.

slngorceres 2Sepakan percuma Olivi (m78) juga sipi di bahagian kiri pintu gol Ceres La Salle dan keputusan kekal 0-0 hingga tamat permainan.

Keputusan itu menyaksikan Ceres La Salle FC terus mendahului kumpulan E dengan sembilan mata diikuti Selangor (lapan).

Manakala Tampines Rovers (Singapura) di tempat ketiga dengan tujuh mata selepas ditewaskan Sheikh Jamal Dhanmondi (Bangladesh) 3-2 di laman sendiri malam ini.

Selangor akan menentang Tampines Rovers di Singapura 10 Mei ini dan seri memadai untuk layak ke pusingan seterusnya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.