Categories
NASIONAL

Calon Gabenor BNM mesti bebas pengaruh politik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 APR: Calon Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baru bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhar Aziz yang bakal menamatkan perkhimatan penghujung April ini mestilah bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata kriteria utama itu penting untuk diberikan penilaian supaya individu dilantik boleh memimpin Bank Negara secara bebas demi kesejahteraan ekonomi negara.

Dr Rosli Yaakop“Kalau kita lihat, Gabenor Bank Negara sebelum ini tidak terikat dengan parti politik. Bermakna dia bukan orang politik, orang yang tiada jawatan politik dan dia adalah individu bebas.

“Jadi itu adalah ciri utama yang perlu dijadikan panduan untuk memilih Gabenor Bank Negara. Di samping berkelayakan, beliau boleh bertindak secara bebas daripada pengaruh politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika diminta mengulas berkenaan kriteria calon Gabenor Bank Negara baru.

Selain itu, calon Gabenor juga perlu mempunyai kaliber dan reputasi baik terutama di peringkat antarabangsa kerana beliau akan berurusan dengan pelbagai agensi kewangan dalam sektor ekonomi dunia.

Ketika ditanya berkenaan calon terkini yang sesuai bagi menggantikan Dr Zeti, beliau secara peribadi berpandangan posisi itu wajar diberikan kepada ‘orang dalam’ kerana mereka lebih mahir selok-belok perjalanan BNM masa kini.

Tan Sri Dr Zeti Akhar Aziz adalah Gabenor BNM ketujuh dan wanita pertama dipilih menduduki jawatan itu sejak 1 Mei 2000.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.