Categories
NASIONAL

PRN: BN Sarawak tidak konsisten galak wanita sertai politik

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 APR: Pengumuman Barisan Nasional (BN) Sarawak meletakkan hanya lima calon wanita daripada 82 kerusi dipertandingkan, sekali gus mengesahkan wujudnya amalan diskriminasi terhadap golongan itu.

Pengarah Pilihan Raya Wanita KEADILAN, Haniza Talha, berkata keputusan itu dilihat tidak seimbang walaupun pertambahan satu kerusi dibuat BN pada pilihan raya kali ini.

haniza talha 2“Dalam PRN 2011, BN mempunyai empat kerusi daripada 71 kerusi atau 5.6 peratus, kini ia ditambah satu menjadi 5/82 ataupun 6 peratus. Perbezaan 0.4 peratus tidak memberi sebarang impak memuaskan.

“Sebaliknya, KEADILAN meletakkan enam calon wanita, termasuk Batu Kitang dan Simanggang, daripada sejumlah 40 kerusi dipertandingkan membentuk 15 peratus mencerminkan kenaikan 4 peratus kerusi wanita yang ditandingi pada pilihan raya lalu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan supaya BN Sarawak tampil mengetengahkan lebih ramai calon wanita pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem gagal memberi fokus kepada saranan itu apabila memuktamadkan hanya lima calon ditandingi parti itu adalah wanita.

PRN SARAWAKHaniza berkata, BN Sarawak tidak konsisten menggalakkan kesaksamaan gender menerusi penyertaan wanita dalam politik.

“Lima wanita untuk mewakili sejumlah 571,462 wanita di Sarawak adalah tidak wajar dan satu tindakan diskriminasi terhadap wanita.

“Ketidakseimbangan ini membawa kepada jurang gender lebih besar di Malaysia.

“Malaysia kini jauh ketinggalan dengan negara jiran Indonesia di dalam Global Index Gap dan langkah BN meletakkan hanya lima calon wanita dari 82 kerusi menjadikan kita menyimpang lebih jauh,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.