Oleh: ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 20 APR: Dewan Negeri Selangor membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi seluruh negeri berumur antara 18 hingga 24 tahun menyertai program ADN Muda Selangor, pada 25 Mei ini.
Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan prosuder dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri.
Peserta diberi pendedahan mengalami prosising sebenar Dewan Negeri sebagai Ahli Dewan Negeri mewakili kawasan masing-masing.
Prosiding tersebut dipengerusikan Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah selaku Timbalan Speaker.
Pada masa sama, peserta juga diberi peluang menyuarakan pendapat mereka berhubung polisi kerajaan membabitkan isu golongan muda.
Penganjuran diharap mampu melahirkan pemimpin berkaliber dan bertangungjawab terhadap isu setempat di seluruh negeri.
Permohonan dibuka mulai 20 April sehingga 10 Mei ini dan sebarang maklumat lanjut mengenai program boleh didapati menerusi laman sesawang, dewan.selangor.gov.my.
Sebelum ini, penganjuran program ADN Muda Selangor yang dilaksanakan sejak 2013 mendapat sambutan baik daripada mahasiswa seluruh negeri.
ADN muda adalah program khas di bawah Dewan Negeri Selangor ke arah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi berfikiran kritis terhadap polisi pentadbiran Kerajaan Negeri.
-NFN-