Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: 19 Ketua Kampung bersama PKR fenomena baru luar biasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak menyifatkan kesanggupan 19 Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N31 Layar untuk berganding bahu bersama parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai sesuatu yang luar biasa.

Pengerusinya, Baru Bian berkata, kerjasama kedua-dua belah pihak itu turut memberi isyarat jelas penolakan terhadap Barisan Nasional (BN) ekoran kawasan Layar adalah lokasi tradisi dan kubu kuat BN.

baru-bian“Ini memang luar biasa. Tidak pernah berlaku begini di kawasan Layar. Kita harap ini dapat membawa kemenangan di kubu kuat di Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB).

“Kami bersama mereka membuat laporan polis di Balai Polis Betong kerana mereka ditipu mengenai sukatan tanah mereka di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak yang mereka tidak tahu mengenainya, ciri-cirinya dan ini adalah kerja Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

“Kerana itu mereka berani bangkit buat laporan polis dan lebih terbuka dengan pembangkang,” kata Baru Bian ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Katanya, Layar adalah kawasan tradisi bagi PBB menerusi Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang yang tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

Baru berkata, berbeza dengan kempen sebelum ini, KEADILAN pada kempennya kali ini melihat kawasan yang tidak ditembusi jaringan komunikasi dan internet sebagai satu kelebihan.

“Kita fokus kepada kawasan pendalaman seperti ini dengan mengarahkan calon kita lebih aktif menyebarkan maklumat supaya pengundi lebih memahami perkara sebenar dan pendirian kita,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.