Categories
AGENDA NASIONAL

Baru Bian positif Covid-19, tidak dapat hadir sidang Dewan Rakyat

KUCHING, 12 SEPT: Ahli Parlimen Selangau Baru Bian mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan telah diuji positif selepas menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) pada Jumaat lalu.

“Saya diminta menjalani kuarantin sehingga 21 Sept dan tidak dapat menghadiri sidang Parlimen sehingga kuarantin selesai.

“Saya mengalami gejala ringan seperti selesema, demam dan semakin beransur pulih sejak semalam,” katanya.

Beliau dijadualkan bertolak ke Kuala Lumpur dari Kuching hari ini namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu.

Baru, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, berkata vaksinasi yang telah diterimanya beberapa bulan lalu berjaya mengurangkan kesan yang lebih serius antaranya keperluan dimasukan ke hospital.

Saya sangat menggalakkan mereka yang belum divaksin untuk mendapatkan vaksin…ia boleh menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan siasatan kondominium runtuh siap sebulan – menteri

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan siasatan ke atas sebahagian struktur kondominium 37 tingkat dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini Jumaat lalu dijangka siap dalam tempoh sebulan, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lapangan sejak insiden itu berlaku, mengumpul maklumat dan bukti untuk menjalankan siasatan dalam pelbagai aspek.

“Berkaitan insiden itu, saya ingin mengingatkan peserta industri pembinaan supaya mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan pembinaan.

Adalah jelas mengikut akta semua pekerja perlu didaftarkan dengan CIDB selain daripada memastikan bahan binaan dan produk menepati standard tinggi di bawah Perakuan Pematuhan Standard’ (PPS),” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Portal Maklumat Pembinaan Sehenti CIDB – CONVINCE di sini, semalam.

CIDB sedang menyiasat insiden itu di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, iaitu, Seksyen 33D(1) mengenai Sijil Pematuhan Standard, Seksyen 33A(1) mengenai pendaftaran pekerja dan akreditasi dan Seksyen 25 (1) berkenaan pendaftaran kontraktor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kemuka sekali lagi maklumat tawaran ambil alih PLUS

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Kerajaan meminta supaya maklumat terperinci berhubung tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd dikemukakan sekali lagi oleh pihak yang berminat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata perkara itu diminta oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya segala maklumat dapat disemak semula sebelum kerajaan membuat sebarang kelulusan.

Bagaimanapun katanya tiada tempoh masa ditetapkan untuk perkara itu dilakukan.

Setakat ini kerajaan menerima lima tawaran untuk mengambil alih konsesi lebuh raya PLUS, katanya ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kali pertama di sini malam tadi.

Sebelum ini dilaporkan Putrajaya mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Selain itu Kementerian Kewangan turut dilaporkan berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata dalam era perubahan teknologi yang sangat dinamik terutamanya di zaman Revolusi Industri 4.0 kini cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks dan mencabar untuk kontraktor bumiputera.

“Justeru, saya menyeru kontraktor yang hadir pada hari ini terutamanya golongan belia agar terus meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pengetahuan masing–masing dalam industri pembinaan melalui penggunaan teknologi terkini dan merebut peluang yang ada bagi meningkatkan daya saing di peringkat dunia.

“Sejajar dengan matlamat Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk industri pembinaan serta pendigitalan industri pembinaan, KKR memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi seperti sistem pembinaan secara industri, ‘Highway Information Modelling’ dan ‘Building Information Modelling’ dalam industri pembinaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan terima empat tawaran ambil alih PLUS

KUALA BERANG, 19 OKT: Kementerian Kerja Raya mengesahkan setakat ini menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menterinya Baru Bian berkata pihak yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Katanya kesemua tawaran itu akan diteliti dan dibawa ke mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu lagi untuk diputuskan.

“Pada tahap ini kita sedang mengkaji semua (tawaran) itu dan bagi Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab atas lebuh raya bertol di seluruh Malaysia, kita menyediakan semua tawaran ini dan akan kemukakan kepada Kabinet serta menasihati apa yang terbaik.

“Ia akan diselesaikan dalam masa dua minggu,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pembinaan-Edisi Terengganu dan Pertandingan Worldskills Malaysia 2019 di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini.

Baru berkata walaupun kementerian mempunyai tempoh sendiri untuk menyelesaikan perkara itu, namun akan cuba melakukannya secepat mungkin kerana memahami ia adalah kebimbangan rakyat.

“Kita akan lakukan dalam waktu yang diperuntukkan dan kita memang mahu ia dilaksanakan secepat mungkin.

“Saya faham ini satu isu yang dibimbangkan bagi rakyat Malaysia dan sudah pasti kita tak akan melengahkannya terlalu lama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tol persimpangan bertingkat Bandar Gamuda Cove bermula 11 malam ini

DENGKIL, 6 SEPT: Pembukaan dan kutipan tol Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove, yang terletak di KM26.70 Lebuhraya ELITE, di sini akan bermula 11 malam ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, dengan adanya persimpangan bertingkat yang menelan kos pembinaan RM150 juta itu, kemajuan kawasan sekitar dapat dijana selain menghubungkan penduduk Dengkil dengan kawasan seperti Sepang, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Dengan perancangan infrastruktur dan pembinaan persimpangan bertingkat baharu di jajaran lebuh raya sedia ada, kawasan yang sebelum ini dianggap jauh kini semakin mudah untuk dikunjungi,” katanya ketika berucap merasmikan persimpangan bertingkat itu di sini, hari ini.

Persimpangan Bertingkat Bandar Gamuda Cove itu yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan terletak di antara Persimpangan Bertingkat Putrajaya dan Persimpangan Bertingkat KLIA serta dilengkapi dengan plaza tol berkapasiti 12 lorong.

Katanya, kemudahan sedemikian membuka peluang kepada pemaju-pemaju hartanah di Malaysia untuk meneroka kawasan di pinggir bandar raya untuk membangunkan perbandaran baharu yang mempunyai jaringan hubungan yang baik dengan pusat bandar raya dan bandar-bandar lain.

Beliau berkata, dengan lebuh raya, pertumbuhan kawasan-kawasan sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

“Malah kajian membuktikan bahawa kawasan yang dilengkapi dengan akses terus ke lebuh raya seperti persimpangan bertingkat telah mencatatkan kadar pertumbuhan yang drastik dan lebih cepat berbanding kawasan-kawasan lain.

“Apabila akses antara satu tempat dengan tempat yang lain bertambah baik, ia pasti memberi kesan berganda terhadap pelbagai program pembangunan hartanah, perindustrian dan perbandaran. Secara tidak langsung, ia memberi kesan signifikan kepada sumbangan langsung kepada masyarakat setempat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

SPRM Sarawak diminta ambil serius semua laporan

KUCHING, 29 JULAI: Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bertindak dengan amanah dan telus serta tidak mengambil mudah terhadap semua laporan yang diajukan kepada mereka.

Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) amat serius dalam agenda memerangi gejala rasuah di negara ini dan menitikberatkan integriti, ketelusan serta keterbukaan dalam semua aspek kerajaan.

“Saya percaya dan berharap dengan perubahan yang dilakukan Kerajaan PAKATAN dalam struktur SPRM, lebih ramai tangkapan dan dakwaan akan dilakukan.

“Bukan sahaja terhadap pelaku kecil malah pelaku besar juga akan disiasat dan didakwa,” katanya pada majlis makan malam “Harapan Sarawak Baru,” anjuran PAKATAN Sarawak, di sini malam tadi.

Beliau turut menyeru parti komponen PAKATAN supaya terus giat dalam melakukan gerak kerja yang sistematik sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, yang akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2021.

“Kali ini kita berkeyakinan tinggi untuk mengambil alih pemerintahan Sarawak dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya sambil mengingatkan bahawa kerajaan pusat adalah kerajaan manakala GPS adalah kerajaan pembangkang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada tawaran rasmi Maju Holdings ambil alih PLUS

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kementeriannya tidak menerima sebarang tawaran rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

“Bagi saya kementerian tidak terima sebarang cadangan secara rasmi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung syarikat berkenaan mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed dilapor pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

Kementerian Kewangan ketika itu berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melepaskan pegangan dalam PLUS kepada Maju Holdings dan memandang serius kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan korporat itu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambutan perayaan wadah penyatuan rakyat – Baru Bian

 

KUCHING, 4 Jun : Sambutan perayaan merupakan wadah penyatuan rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata semangat kunjung mengunjung harus disemarakkan lagi, bukan sahaja kepada rakan taulan, tetapi kepada jiran atau kenalan baharu.

“Amalan ini akan mengembangkan lagi rakaian persahabatan dan sudah tentu akan mengukuhkan lagi ikatan silaturahim sesama kita.

“Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan, kegembiraan di samping berkunjung-kunjungan dan bermaaf-maafan,” katanya dalam perutusan Hari Raya di sini, hari ini.

Bagi pihak Kementerian Kerja Raya serta keluarga, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfiti kepada seluruh umat Islam di Malaysia. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembinaan Sarawak-Sabah Link Road bermula suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Kerja-kerja pembinaan jajaran Sarawak-Sabah Link Road dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerja-kerja ukur bagi pakej satu telah dijalankan dan kerja-kerja awalan pakej itu akan bermula dalam tempoh tiga minggu lagi melibatkan peruntukan RM5 juta.

Baru berkata, pembinaan jajaran baharu yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei melibatkan 415km itu akan memanfaatkan penduduk tempatan dengan memperkasakan aktiviti eco-tourism dan agrotourism.

Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pakej satu melibatkan jajaran sepanjang 80km dari Lawas-Long Sukang-Long Lopeng hingga Kampung Pa’ Berunut di Sarawak dengan anggaran kos RM1.2 bilion.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meluluskan projek ini. Saya harap projek (pakej satu) ini akan memanfaatkan penduduk di pedalaman Limbang, Miri dan Lawas,” katanya selepas majlis Sungkei (berbuka puasa) bersama media di kementerian itu di sini semalam.

Jelasnya projek itu keseluruhannya melibatkan kos kira-kira RM5.35 bilion bermula dari Long Lama (Marudi) ke Lawas di Sarawak dan berakhir di Sindumin, Sabah.

“Ini adalah perkara yang baik kerana kita faham Sabah dan Sarawak sudah ketinggalan beberapa tahun dari segi infrastruktur,” katanya.

Baru berkata jajaran pakej satu itu bakal menyediakan akses jalan raya menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dari Ulu Baram di Miri ke Limbang dan Long Semado di Lawas seterusnya meningkatkan mobiliti penduduk dan hasil ekonomi.

“Selepas ini, saya akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai memasukkan internet di kawasan terlibat. Saya percaya ia dapat membantu merancakkan lagi perniagaan penduduk tempatan secara online,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masyarakat harus berani tampil buat aduan kecurangan moral

KUCHING, 21 Mei: Masyarakat harus berani tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada polis untuk bersama menangani salah guna kuasa dan kecurangan moral yang berlaku dalam masyarakat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Merujuk kepada tangkapan seorang guru yang dituduh mencabul kehormatan tiga murid di Daerah Lawas, beliau turut meminta supaya pihak polis dapat membuat siasatan yang rapi supaya kes seumpama ini dapat diadili dengan sewajarnya.

“Adalah sangat mendukacitakan sekiranya seorang guru yang diharap mendidik dan mengasuh anak tergamak melakukan tindakan yang tidak bermoral ini, dan kalau dapatan siasatan itu benar maka pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.

“Kita tidak boleh membiarkan kegiatan jenayah terus menular dan pelakunya bebas melepaskan diri dari tindakan undang undang,” Baru, yang juga Anggota Parlimen Selangau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, seorang guru, 31, ditahan di Balai Polis Karamunsing,Kota Kinabalu Sabah pada 15 Mei.

Suspek lelaki itu, yang bertugas di Lawas sejak Januari 2012 hingga sekarang, ditahan untuk membantu siasatan kes gangguan seksual serta liwat membabitkan murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Lawas pada 2016. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mansuh tol motosikal, CIDB di pedalaman antara pencapaian KKR

KUALA LUMPUR, 28 APR: Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang memanfaatkan kira-kira 72,000 penunggang motosikal sehari merupakan antara pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak setahun lepas.

Turut menjadi kebanggaan ialah pembukaan cawangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di kawasan pedalaman termasuk di Sibu, Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata pemansuhan kutipan tol bermula Januari tahun ini, memberi manfaat kepada 20,000 pengguna motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP), 2,000 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (JSAHMS) dan 50,000 di Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor, setiap hari.

Menurutnya, melalui inisiatif itu juga pemansuhan tol motosikal dilakukan lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam perjanjian konsesi melibatkan awal 19 tahun bagi Tol Tanjung Kupang dan JPP, manakala awal 34 tahun untuk JSAHMS.

“Bebanan kos sara hidup rakyat juga dapat dikurangkan kerana penjimatan dinikmati pengguna motosikal di laluan-laluan tersebut sebanyak RM24 ke RM66 sebulan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir pada Jumaat lalu.

Mengulas mengenai cadangan PAKATAN dalam pengambilalihan konsesi tol lain di seluruh negara, Baru berkata buat masa ini satu kajian impak sedang dilakukan oleh satu agensi perunding bebas dan laporan tersebut dijangka siap pada bulan depan.

“Kerajaan mungkin akan terima laporan mengenainya pada Mei dan kita akan kaji laporan itu dan akan dikemukakan pada Jemaah Menteri untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Menyentuh mengenai pembukaan cawangan CIDB di Sibu pada 23 Mac lalu, Baru berkata langkah itu dianggap satu kejayaan kerana berjaya memperluaskan perkhidmatan CIDB khususnya di kawasan pedalaman.

Cawangan itu menyediakan perkhidmatan memproses pendaftaran kontraktor dan bahan binaan serta pendaftaran dan akreditasi personel binaan.

“Cawangan baharu ini akan memberi kemudahan kepada 974 kontraktor dan 13,000 personel binaan di Sibu, dan pelanggan tidak perlu lagi ke cawangan lain yang terletak jauh di Kuching dan Bintulu.

“Melalui pembukaan cawangan ini juga pertumbuhan industri pembinaan di kawasan itu akan lebih mantap, berkualiti, produktif dan sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sibu,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KKR komited naik taraf jalan ‘blackspot’

KUALA PILAH, 18 APRIL: Kementerian Kerja Raya komited untuk menaik taraf jalan raya termasuk Jalan Persekutuan di seluruh negara yang dikesan sebagai ‘blackspot’ atau penyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi.

Menteri berkenaan, Baru Bian berkata, adalah menjadi dasar kementerian untuk memberi keutamaan kepada projek seumpama itu kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa.

Katanya, setiap negeri lebih mengetahui jalan mana di negeri masing-masing yang perlu dinaik taraf tetapi faktor ‘blackspot’ akan diambil kira dalam menentukan keutamaan sesuatu projek menaik taraf jalan itu.

“Ini adalah satu prinsip atau dasar kita yang mana kita juga akan menaik taraf Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara (dan) sekiranya ada faktor kemalangan itu, ia menjadi keutamaan pada kita,” katanya selepas merasmikan Laluan FT51 dari Kampung Sawah Liat ke Kampung Gedang daerah Kuala Pilah, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Mengulas lanjut, Baru berkata projek FT51 itu dinaik taraf untuk mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya ingin tekankan bahawa projek ini telah dimulakan selepas permohonan dibuat mengenai jalan raya di kawasan ini yang banyak kemalangan terjadi, jadi kita ambil serius kerana itu projek ini diterima tiga tahun lepas dan berjaya disempurnakan 17 Dis tahun lepas,” katanya.

Tambahnya, projek menaik taraf laluan FT51 juga adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan infrastruktur sokongan bermutu tinggi yang mana jajaran itu menjadi laluan penting menghubungkan Negeri Sembilan Barat dan Timur meliputi daerah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

“Kos yang telah diluluskan bagi projek ini adalah sebanyak RM25 juta meliputi kos keseluruhan termasuk pengambilan tanah, pengalihan utiliti manakala kos projek bernilai RM16.8 juta,” katanya.

SEREMBAN, 18 April — Laluan projek FT51 dari Kampung Sawah Liat Ke Kampung Gadang Kuala Pilah telah dinaik taraf bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM25 juta meliputi kos keseluruhan termasuk pengambilan tanah, pengalihan utiliti manakala kos projek bernilai RM16.8 juta telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya juga amat berbangga kerana dimaklumkan penyerahan projek ini merangkumi tiga dalam satu iaitu ‘Certificate of Practical Completion’, ‘As-Built Drawings’ dan ‘Statement of Final Account’ yang perlu dicontohi projek lain yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Dalam pada itu, Baru juga berkata penjimatan kos bagi sesuatu projek yang dilaksanakan dapat dicapai sekiranya pelaksanaan projek dijalankan dengan lancar dan berdisiplin.

“Penjimatan kos menjadi isu yang penting dan kita galakkan kontraktor untuk jimatkan kos bahkan kita memang ada beberapa kontraktor yang dapat buat begitu (penjimatan kos) dan ini adalah satu teladan bagi kontraktor lain,” katanya.

Projek menelan kos projek sebanyak RM16.8 juta itu mula dibina pada 15 Mei 2015 dan siap pada 17 Dis 2018, melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer.

Ia melibatkan penambahbaikan selekoh berbahaya, menaik taraf bahu jalan berturap 2 meter dan tidak berturap 1 meter, pembinaan dua ‘box culvert’, pengambilan tanah pengalihan utiliti dan juga pengalihan sungai. -BERNAMA