Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: Jika BN yakin menang besar kenapa wujud sekatan?

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Sekatan terhadap pimpinan pembangkang ke Sarawak menunjukkan Barisan Nasional goyah untuk menang besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN 11) walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yakin mampu mengungguli hampir 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemimpin Pembangkang khususnya Pakatan Harapan (Pakatan) senada terhadap situasi tidak yakin Adenan itu meskipun beliau sudah menjelajah negeri Bumi Kenyalang itu termasuk kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PRN SARAWAKNaib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, pihaknya menghormati kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri namun halangan ini tidak mencerminkan keyakinan mereka.

“Tindakan ini tidak menunjukkan keyakinan sama. Dengan menghalang kita, Ketua Menteri Sarawak ini (tidak) mempunyai keyakinan untuk bertanding secara adil,” katanya.

Pandangan sama diberikan Ahli Jawatankuasa Kerja Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad yang menyifatkan halangan itu demi menjaga persepsi dan peranan yang dimainkan Parti Progresif Rakyat (PPP).

Beliau mendakwa ‘faktor Najib dan BN’ di peringkat nasional perlu diketepikan khususnya isu yang bakal dibawa Ahli Parlimen Pembangkang dari Semenanjung.

“Dia tidak yakin dan faham rakyat Sarawak sudah bosan dengan BN khususnya di peringkat pusat. Apabila kita datang dan membawa isu peringkat pusat, itu mengakibatkan peranan parti PPP turut dipersoalkan walhal walaupun ia pilihan raya negeri tetapi isu nasional mampu menjejaskan sokongan mereka,” katanya.

Bagi Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berharap rakyat Sarawak sedar wajah sebenar Adenan Satem yang lebih keras menghalang pemimpin pembangkang berbanding pada zaman pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud.

“Sebelum ini beliau memberikan gambaran seorang reformis dan mempertahankan hak demokrasi dan membebaskan Sarawak daripada cara pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud.

“Namun segalanya ‘wayang’ bahkan beliau lebih keras daripada Taib Mahmud sedangkan kita juga mengkritik pemerintahan beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berpandangan halangan itu untuk merupakan cubaan bagi merencatkan kempen Pakatan dan demokrasi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.