Categories
NASIONAL

PRN Sarawak: Referendum rakyat tolak GST

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 APR: Pilihan Raya Negeri Sarawak dianggap sebagai referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata rakyat Sarawak perlu melakukan perubahan dengan tidak membiarkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) membiarkan GST terus menghukum rakyat.

IMG_3097“Kita tidak boleh biar BN terus bermaharajalela mentadbir tanpa dihukum. Gunakan Pilihan Raya Negeri Sarawak ini sebagai referendum membantah GST.

“Mandat yang diberi semula kepada BN bakal membawa malapetaka kepada ekonomi rakyat di Sarawak,” katanya pada sidang media, Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Antara yang hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pelaksanaan GST enam peratus sejak April 2015 menekan ekonomi rakyat kebiasaan ekoran peningkatan harga barangan di pasaran.

IMG_3139Lebih mengecewakan, kata Zuraida, masyarakat di kawasan luar bandar khususnya pedalaman Sarawak tidak dapat menampung kenaikan terbabit.

“Jelas bahawa Kerajaan Pusat pimpinan BN gagal melaksanankan dasar yang boleh membantu rakyat menjalankan kehidupan dengan lebih selesa.

“Semua rakyat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, apatah lagi mereka hidup di pedalaman Sarawak yang mempunyai sumber pendapatan terhad,” katanya.

Sebelum ini, Institut Rakyat melaporkan pelaksanaan GST menyebabkan aliran kewangan syarikat dan kos perniagaan meningkat disebabkan kos tambahan pengurusan cukai rakus itu.

GST juga penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup dan perniagaan serta mendorong kepada kejatuhan nilai wang ringgit, peningkatan kos pekerja, kesan kepada sistem birokrasi dan peningkatan kos pengangkutan juga kesihatan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.