Categories
SELANGOR

Skim Dermasiswa merakyatkan pendidikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pelaksanaan Skim Dermasiswa di Universiti Selangor (UNISEL) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri merakyatkan pendidikan untuk semua golongan di Selangor dan Malaysia amnya.

Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum UNISEL, Dr Hamdan Mohd Salleh, berkata langkah ini juga adalah sebahagian usaha pendemokrasian universiti seperti disebut Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini.

IMG_9860“Skim ini usaha transformasi dilaksanakan Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman untuk menaikkan UNISEL ke tahap lebih tinggi dan mencapai maksud Smart Selangor iaitu membina masyarakat peduli.

“Kita cuba melahirkan pelajar dalam dua bidang kritikal iaitu Sains dan Teknologi Maklumat yang pada masa ini keperluannya agak meruncing,” katanya kepada SelangorKini pada 5 April lalu.

Katanya, berdasarkan kajian UNISEL didapati pelajar dalam bidang ini agak berkurangan.

“Ini ruang untuk pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran percuma dari segi yuran pengajiannya kerana pada asasnya cabaran utama pelajar adalah kurangnya bantuan kewangan ditawarkan,” katanya.

Selain bidang Sains dan Teknologi Maklumat yang dianggap kritikal, UNISEL juga bercadang menambah jumlah pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ia terutamanya dalam bidang membabitkan Fakulti Bio Teknologi, Fakulti Teknologi Maklumat dan Kejureteraan bagi menampung keperluan di Selangor yang sedang menuju ke arah lebih maju dan berdaya saing.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.