Categories
KENYATAAN MEDIA

Status padang: FAS Akur Keputusan FMLLP

Oleh : Pengurus Pasukan Selangor, Amirudin Shari

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akur dengan keputusan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang mengklasifikasikan padang Stadium Shah Alam sebagai tidak sesuai digunakan serta masih belum pulih sepenuhnya bagi perlawanan Selangor menentang Kedah pada hari Selasa nanti.

Malah selain isu rumput padang, proses penambahbaikan pencahayaan Stadium Shah Alam dari 1200 lux ke 2000 lux juga masih di dalam proses.

YB Amiruddin melawat Stadium Shah Alam (ASRI) (3)Saya ingin melahirkan rasa kecewa terhadap Pengurusan Stadium Shah Alam di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam serta kontraktor yang dilantik kerana gagal menyiapkan kerja-kerja baikpulih sepertimana yang telah ditetapkan.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana proses ini telah bermula penghujung Disember 2015 dan mengikut pemantauan dan penjelasan yang diberikan, ianya boleh siap digunakan pada perlawanan 5 April 2016 menentang Kedah. Malah, penerangan terakhir yang diberikan kepada saya awal minggu ini masih turut memberikan jaminan yang sama.

Walaubagaimanapun, mengambil kira risiko kecederaan pemain terutamanya FAS terpaksa akur dengan keputusan FMLLP untuk meminda perlawanan ke Stadium Selayang.

Dalam masa yang sama, saya akan memastikan bahawa Pengurusan Stadium bertindak lebih efisien dalam memastikan padang dapat disiapkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Bagi pemegang pas bermusim FAS pada musim 2016, saya memberi jaminan bahawa pas bermusim tersebut boleh digunakan di Stadium Selayang pada perlawanan Selangor menentang Kedah pada 5 April 2016 nanti.

Saya telah meminta Darul Ehsan Facilities Management dan FAS untuk mengaturkan perkara ini sebaik-baiknya.

Saya turut ingin memohon maaf kepada semua penyokong setia Selangor diatas kelewatan proses penambahbaikan Stadium Shah Alam ini dan akan memastikan perkara ini akan diselesaikan segera.

Diharap segala proses akan berjalan lancar dengan pemantauan lebih teliti dan menyeluruh.

03 April 2016
-nR-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.