Categories
SELANGOR

Surau Orang Asal menang surau tercantik peringkat kebangsaan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 APR: Surau Orang Asal, Kampung Tun Razak, Kuala Kubu Bahru muncul juara bagi kategori surau tercantik seluruh Malaysia.

Ia sekaligus melayakkan surau terbabit menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,500.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Simposium Kepimpinan Tok Batin peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Wakil jawatankuasa surau itu, A Mizan Silai, berkata kemenangan itu tidak dijangka dan terharu akan keperihatinan MAIS terhadap kaum Orang Asal.

“Amat gembira dan terharu atas kemenangan ini. Saya bagi pihak surau mengucapkan terima kasih kepada MAIS.

“Surau ini baru ditubuhkan dua tahun lalu. Sebelum ditubuhkan pelbagai cabaran diterima dari orang bukan Islam.

“Namun, selepas kita memberikan penerangan, Alhamdulillah kaum lain menerima dengan terbuka,” katanya kepada SelangorKini.

Mizan berkata pelbagai usaha dilakukan orang orang Islam di situ bagi memakmurkan surau terbabit.

“Surau ini menjadi kegunaan bukan sahaja Orang Asal yang beragama Islam tetapi juga kaum bukan Islam.

“Pelbagai aktiviti diadakan antaranya ceramah, gotong royong, mesyuarat dan sebagainya tanpa mengira agama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata seramai lebih 40 keluarga memeluk agama Islam sejak dua tahun lalu.

“Penubuhan surau ini sangat bermakna bagi kami. Penerimaan terhadap agama Islam dari penduduk kampung kami sangat memuaskan.

“Lebih 600 penduduk di kampung ini dan saya berharap lebih ramai kaum bukan Islam dapat menghayati agama Islam,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.