Categories
NASIONAL

Tony Pua: Tawaran letak jawatan Lembaga Pengarah 1MDB disambut baik

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 APR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengalu-alukan tawaran Lembaga Pengarah 1MDB meletakkan jawatan berikutan pengumuman laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), semalam.

Namun, beliau mempersoalkan tindakan Lembaga Penasihat diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kini belum mengeluarkan kenyataan berundur seperti syor PAC.

PJ Utara MP Tony Pua

“Kita amat mengalu-alukan peletakan jawatan seluruh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Itu merupakan antara syor pertama saya sendiri dalam kenyataan media dikeluarkan semalam.

“Tapi tidak boleh terhenti di sana sahaja, Lembaga Penasihat 1MDB, mengapa tidak meletakkan jawatan lagi?

“Ia diminta seperti dalam syor PAC bahawa Lembaga Penasihat perlu dimansuhkan.

“Mengapa Najib Razak belum mengumumkan pengakuan kepada syor PAC supaya Lembaga Penasihat dibubarkan serta merta dan Artikel 117 dikeluarkan daripada M&A syarikat,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran Lembaga Pengarah 1MDB untuk meletakkan jawatan dikeluarkan menerusi satu kenyataan, semalam.

PAC dalam laporannya semalam berpandangan Lembaga Penasihat 1MDB dipengerusikan Najib perlu dimansuhkan bersama Artikel 117 seperti dalam memorandum dan artikel syarikat (M&A).

1MDBSecara ringkasnya, artikel 117 menetapkan bahawa semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan diambil 1MDB boleh mempunyai kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan perlulah mendapat kebenaran bertulis Perdana Menteri.

Laporan itu turut menemui kegagalan Lembaga Pengarah dalam melaksanakan tanggungjawab selain memgesyorkan 1MDB mengamalkan prinsip urus tadbir baik.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.