Categories
AGAMA

Mimbar Jumaat : Negeri sejahtera dan dirahmati Allah

Intisari Khutbah Jumaat: 8 April 2016

Firman Allah SWT di dalam Surah Saba’ ayat 15; “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (lalu dikatakan kepada mereka):

“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!”.

SOLATUntuk mencapai kemakmuran, keselesaan dan keamanan dalam kehidupan, Allah SWT menceritakan dalam Surah Saba’, kisah sebuah negeri bernama Saba’ yang didiami satu kaum di Selatan Yaman pernah mengecapi segala kemakmuran, kekayaan, keamanan, dengan kurniaan rahmat daripada Allah SWT.

Mereka mendaki tangga tamadun tinggi sehingga diberi nikmat mengendalikan air hujan mengalir dari sebelah laut di Selatan dan di Timur dengan membina sebuah tasik diapit dua buah bukit.

Di permukaan lembah antara dua bukit itu mereka membina sebuah empangan yang dapat menakung air banyak bagi keperluan mereka sehingga memperoleh punca bekalan air amat besar dan terkenal dengan nama Empangan Ma’arib.

Di negeri itu juga terdapat kebun terletak di kanan dan kiri melambangkan ia sebuah negeri subur, mewah, makmur dan penuh kenikmatan.

Berdasarkan kisah negara Saba’ itu, beberapa perkara penting boleh diambil sebagai panduan untuk menjadikan negeri ini sentiasa konsisten sebagai sebuah negeri sejahtera dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Oleh itu beberapa langkah berikut wajarlah dilaksanakan:

1. Hendaklah melaksanakan syariat Islam secara syumul dan menyeluruh disetiap peringkat sama ada dari segi ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan perundangan. Ini juga matlamat sebenar kita hidup di atas muka bumi Allah sebagai khalifah berkewajipan mendaulatkan perintah Allah dalam segenap lapangan kehidupan. Sesungguhnya, melaksanakan perundangan serta dasar syariat akan membawa rahmat kepada seluruh alam dan memberikan petunjuk kepada manusia.

2. Para pemimpin mestilah bersikap adil dalam melaksana polisi dan berani membuat keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat serta amanah dengan kuasa dimiliki. Pemimpin juga harus bersikap jujur, memiliki minda tajam, berilmu dan berpengetahuan luas dalam ilmu dunia dan akhirat serta berkemahiran dalam mengurus dan mentadbir negeri.

3. Hendaklah memelihara dan menutup ruang kemaksiatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Sesungguhnya usaha pencegahan unsur kemungkaran dan kemaksiatan akan mengundang keamanan dan kesejahteraan hidup. Sebaliknya, membiarkan kemaksiatan berleluasa dalam negeri akan mendatangkan bala dan kesusahan terhadap kehidupan seluruh rakyat.

4. Hendaklah melipat gandakan usaha menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau keturunan. Selain itu, keadilan yang meletakkan neraca iman dan taqwa sebagai keutamaan dalam menolak kepentingan berdasar keturunan, bangsa dan warna kulit akan menarik rahmat dan keamanan.

5. Mestilah menjadi manusia bertaqwa dalam segenap aspek kehidupan, mensyukuri nikmat pemberian Allah dengan banyak melakukan kebajikan sesama makhluk, bersikap taa’wun (tolong-menolong dalam kebajikan) dengan menunaikan zakat, memperbanyakkan sedekah, taat kepada pemimpin soleh, penyayang kepada golongan fakir dan miskin dan menghormati hak orang lain atas dasar kemanusiaan seterusnya mengikat kesatuan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

6. Selain itu, pemimpin dan rakyat juga mestilah meletakkan pergantungan tinggi terhadap Allah SWT dengan saling bekerjasama dan bermesyuarat demi meraih rahmat dan keberkatan disisi Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 159 :

“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Dengan panduan-panduan ini, maka umat Islam hendaklah:

1. Menyedari dan memahami bahawa kita memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini

2. Memberi sokongan kepada Ulama’ dan pemimpin untuk saling bekerjasama dalam menegakkan keadilan dan mendirikan syariat Allah.

3. Berwaspada bahawa keingkaran terhadap perintah Allah akan mengundang kemurkaan dan bencana daripada Allah SWT.

4. Sentiasa bertanggungjawab memelihara perpaduan, menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup bernegara

Leave a Reply

Your email address will not be published.