Categories
NASIONAL

Tukar biasiswa kepada pinjaman khianati pelajar cemerlang

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 APR : Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menukar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada bentuk pinjaman dianggap sebagai pengkianatan kepada pelajar.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata keputusan itu menyukarkan pelajar cemerlang menyambung pengajian tertinggi di peringkat luar.

Nurul Izzah“Biasiswa JPA tidak lagi menjadi anugerah kepada pelajar cemerlang tetapi bakal menjadi bebanan hutang kepada pelajar terbaik negara,” tulisnya dalam blog nurulizzah.com.

Terdahulu, Dewan Rakyat mengesahkan pelupusan program bursari JPA luar negara bagi tahun akademik 2016 sekaligus memberi kesan kepada 744 pelajar cemerlang SPM 2013 mengikuti pengajian di luar negara.

Sejumlah 744 pelajar berjaya memenuhi syarat mendapatkan keputusan terbaik dengan minimum SPM 9A+, A‐Level 14 Mata dan mendapat tawaran daripada universiti terbaik dunia.

Nurul Izzah berkata Kerajaan Persekutuan seharusnya lebih peka kerana pertumbuhan ekonomi negara turut dipengaruhi perkembangan intelektual golongan muda.

“Kerajaan sepatutnya menghentikan program sia-sia seperti PLKN dan memperuntukkan wang untuk biasiswa bursari demi memberi peluang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik dunia.

“Jangan dikuburkan program bursari JPA yang sudah hilang maknanya apabila biasiswa ditukar kepada pinjaman,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.