Categories
NASIONAL

Rakyat Sarawak semakin marah pentadbiran Najib

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 APR : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mengamalkan politik wang bagi mendapatkan sokongan masyarakat Sarawak menjelang Pilihanraya Negeri itu, kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Beliau berkata amalan itu menjadi kelaziman pentadbiran Barisan Nasional (BN) demi memanjangkan hayat pentadbiran BN di negeri itu sejak bertahun lalu.

Sarawak“Cash is king’ – Itulah resipi mudah Najib untuk Sarawak. Resipi diketahui umum menjadi modus operandi di hampir lima puluh kawasan lawatan beliau ke Sarawak sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009.

“Keseluruhannya tidak lain adalah ibarat menabur wang Persekutuan untuk pelbagai projek.

“Projek yang akhirnya hanya memberikan lebih manfaat kepada kontraktor berbanding anak Sarawak sendiri,” tulisnya menerusi artikel pada portal RoketKini.

Namun beliau percaya amalan sedemikian bukan jaminan terbesar sokongan rakyat Sarawak dapat dipengaruhi berikutan kemarahan majoriti rakyat terhadap kelemahan tadbir urus Najib.

Ia susulan pelaksanaan dasar dan percukaian antaranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menambah beban rakyat kebiasaan untuk menikmati kehidupan lebih baik.

“PRN Sarawak bakal menyaksikan penzahiran peningkatan kebencian di kalangan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, bahkan Umno,” katanya.

Sebelum ini Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pembubaran Dewan Negeri berkuatkuasa 11 April ini.

Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.