Categories
SELANGOR

Usaha dipergiat kurangkan kes kemalangan jalan raya

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 APR : Kes kemalangan maut di Selangor mencatatkan penurunan bagi tempoh sehingga Januari 2016 berbanding Januari tahun lalu, hasil gerak kerja diusahakan Kerajaan Negeri.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata Kerajaan Negeri konsisten menggandakan pelbagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

DNS 2016“Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor bekerjasama dengan pelbagai pihak memperbanyakkan aktiviti penguatkuasaan dan kempen kesedaran.

“Ia sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di kawasan kerap berlakunya kemalangan maut seperti di Kuala Selangor, Kajang dan Hulu Selangor,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Rua Razaly Hassan berhubung statistik kemalangan maut jalan raya di Selangor.

Zaidy berkata, sebanyak 77 kes kemalangan maut dilaporkan sehingga Januari 2016 berbanding 103 pada 2015 dengan penurunan sebanyak 26 kes.

Sementara itu, Kajang mencatatkan kes tertinggi kemalangan maut menerusi 12 kes kematian dengan 1,309 kemalangan dilaporkan.

Dalam isu sama, Zaidy berkata pelaksanaan pendidikan keselamatan jalan raya di peringkat kanak-kanak diterapkan supaya manfaat mengenainya dinikmati semua pihak.

“Kerajaan bersama pelbagai agensi dan pihak swasta lain menyokong pelaksanaan pendidikan keselamatan jalan raya bermula dari peringkat kanak-kanak di sekolah.

“Pelaksanaannya dilihat mampu melahirkan generasi baru pengguna jalan raya mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati di jalan raya sebagai rancangan jangka panjang,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.