OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 25 MEI: Seramai 1808 pelajar tadika seluruh negara berjaya menghafaz ayat lazim Al-Quran menerusi Program Pencetus Huffaz Cilik di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Program anjuran Fitrah Coaching Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor dan Persatuan Tadika Islam Malaysia menyasarkan kanak-kanak di bawah tujuh tahun untuk lebih mendekatkan diri kepada Al-Quran.
Wakil Fitrah Coaching, Muhyiddin Mokhtar, berkata ibu bapa berperanan menyumbang kepada pendidikan anak berlandaskan syariah dan hukum Allah SWT.
“Program ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan ibu bapa berkenaan pentingnya pengajaran Al-Quran untuk dijadikan sahabat kepada anak ini.
“Anak perlu dididik mencintai Al-Quran dan pada masa sama umat Islam perlu sedar Al-Quran sebagai mukjizat yang diturunkan Allah SWT untuk kita lebih dekat denganNya,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup program itu.
Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafie dan Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia, Dato’ Mohd Nahwari Hashim.
Program julung kalinya itu juga turut melibatkan penyertaan 72 tadika seluruh Selangor, Johor dan Perak.
Sementara itu, Shuhaimi Shafie yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda berharap program sedemikian dapat dijalankan secara menyeluruh sebagai usaha semua pihak dan Kerajaan Negeri memartabatkan pendidikan kanak-kanak di peringkat rendah.
“Walaupun sebaris atau sepotong ayat yang dihafaz oleh anak ini tetapi ia adalah satu langkah yang besar dalam memartabatkan mereka untuk menjadi penghafaz Al-Quran.
“Usaha murni ini sewajarnya disokong semua pihak dan diperingkat Kerajaan Negeri sangat mengalukan mana-mana pihak untuk melakukan tugasan seperti ini.
“Kita berharap program ini akan menjadi titik langkah dan permulaan baru dalam menjadikannya satu usaha yang besar dan bermanfaat,” katanya.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri sebelum ini rancak memperkenalkan pelbagai program dan peruntukan di bawah Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) untuk menampung yuran pengajian tadika seluruh negeri.
Inisiatif itu mampu memberi manfaat jangka panjang kepada lebih 20,000 pelajar tadika di Selangor.
-NFN-