Categories
KENYATAAN MEDIA

Cameron Highland banjir lagi, MB Pahang mesti bertanggungjawab

OLEH : Lee Chean Chung

Saya merasa kesal dengan insiden banjir yang berlaku di Cameron Highland pada dua hari lepas yang mengakibatkan jambatan merentangi Sungai Ulu Telom, Cameron Highlands runtuh serta menyebabkan laluan utama ke perkampungan Orang Asli Pos Terisu terputus.

Ini bukan kali pertamanya banjir berlaku di Cameron Highland dan rakyat Pahang masih ingat tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam yang meragut empat nyawa warga Cameron Highland pada November 2014 dan banjir lumpur pada 23hb Oktober 2013 di tempat yang sama.

Insiden ini memaparkan kegagalan Kerajaan UMNO/BN dalam menangani isu kelestarian pertanian dan juga gagal memastikan keselamatan penduduk dijaga.

Sedangkan Kerajaan Pahang seringkali mengatakan bahawa usaha dilakukan dalam menangani isu ini, namun saya berpendapat bahawa kerajaan kelihatan tidak serius menangani isu ini secara holistik, sebaliknya hanya menangkap pekebun kecil dan pegawai berpangkat pertengahan.

Padahal isu pembalakan haram dan syarikat kroni yang menjalani aktiviti pertanian secara besar-besaran sehingga merosakkan alam sekitar yang merupakan penyumbang utama kepada isu banjir ini kelihatan masih bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.

Kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar Adnan Yaakob harus bertanggungjawab dalam insiden ini dan perlu meletak jawatan atas kegagalannya dalam menangani banjir di Cameron Highland.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan Barisan Nasional bahawa sikap mereka yang tidak serius dalam menyelesaikan isu tanah turut menjadi punca utama kelestarian alam sekitar gagal dijaga.

Sedangkan kebanyakan pekebun di Cameron Highland memohon geran tanah, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan kerajaan negeri dan kebun mereka masih diuruskan di bawah lesen sementara (TOL).

Bagi pekebun-pekebun yang masih memegang TOL, bagaimanakah mereka membuat pinjaman bank untuk memperoleh dana untuk menaik taraf teknologi pertanian mereka?

Bagaimanakah kerajaan Pahang meyakinkan pekebun supaya melabur dana serta menggunakan teknologi hijau yang lebih mesra alam sedangkan lesen pekebun hanya merupakan lesen TOL yang mungkin ditarik balik bila-bila masa sahaja?

KEADILAN ingin menyarankan Kerajaan Pahang supaya menguruskan pertanian di Cameron Highland secara holistik dengan beberapa langkah berikut bagi menyelesaikan masalah banjir di Cameron Highland yang telah berlaku berulang tahun:

1. Membahagikan kawasan pertanian dan hutan simpanan mengikut zon dan memastikan kawasan hutan simpanan tidak diceroboh dan dilindungi.

2. Membaiki hakisan tanah yang berlaku dan memantau mutu air dan udara di Cameron Highland secara berkala.

3. Membangunkan pelancongan di Cameron Highland dengan cara yang lebih lestari dan membangunkan projek-projek Eko-Pelancongan (Eco-Tourism) di Cameron Highland.

* Lee Chean Chung adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.