Categories
KENYATAAN MEDIA

Cameron Highland banjir lagi, MB Pahang mesti bertanggungjawab

OLEH : Lee Chean Chung

Saya merasa kesal dengan insiden banjir yang berlaku di Cameron Highland pada dua hari lepas yang mengakibatkan jambatan merentangi Sungai Ulu Telom, Cameron Highlands runtuh serta menyebabkan laluan utama ke perkampungan Orang Asli Pos Terisu terputus.

Ini bukan kali pertamanya banjir berlaku di Cameron Highland dan rakyat Pahang masih ingat tragedi banjir lumpur di Lembah Bertam yang meragut empat nyawa warga Cameron Highland pada November 2014 dan banjir lumpur pada 23hb Oktober 2013 di tempat yang sama.

Insiden ini memaparkan kegagalan Kerajaan UMNO/BN dalam menangani isu kelestarian pertanian dan juga gagal memastikan keselamatan penduduk dijaga.

Sedangkan Kerajaan Pahang seringkali mengatakan bahawa usaha dilakukan dalam menangani isu ini, namun saya berpendapat bahawa kerajaan kelihatan tidak serius menangani isu ini secara holistik, sebaliknya hanya menangkap pekebun kecil dan pegawai berpangkat pertengahan.

Padahal isu pembalakan haram dan syarikat kroni yang menjalani aktiviti pertanian secara besar-besaran sehingga merosakkan alam sekitar yang merupakan penyumbang utama kepada isu banjir ini kelihatan masih bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.

Kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar Adnan Yaakob harus bertanggungjawab dalam insiden ini dan perlu meletak jawatan atas kegagalannya dalam menangani banjir di Cameron Highland.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan Barisan Nasional bahawa sikap mereka yang tidak serius dalam menyelesaikan isu tanah turut menjadi punca utama kelestarian alam sekitar gagal dijaga.

Sedangkan kebanyakan pekebun di Cameron Highland memohon geran tanah, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan kerajaan negeri dan kebun mereka masih diuruskan di bawah lesen sementara (TOL).

Bagi pekebun-pekebun yang masih memegang TOL, bagaimanakah mereka membuat pinjaman bank untuk memperoleh dana untuk menaik taraf teknologi pertanian mereka?

Bagaimanakah kerajaan Pahang meyakinkan pekebun supaya melabur dana serta menggunakan teknologi hijau yang lebih mesra alam sedangkan lesen pekebun hanya merupakan lesen TOL yang mungkin ditarik balik bila-bila masa sahaja?

KEADILAN ingin menyarankan Kerajaan Pahang supaya menguruskan pertanian di Cameron Highland secara holistik dengan beberapa langkah berikut bagi menyelesaikan masalah banjir di Cameron Highland yang telah berlaku berulang tahun:

1. Membahagikan kawasan pertanian dan hutan simpanan mengikut zon dan memastikan kawasan hutan simpanan tidak diceroboh dan dilindungi.

2. Membaiki hakisan tanah yang berlaku dan memantau mutu air dan udara di Cameron Highland secara berkala.

3. Membangunkan pelancongan di Cameron Highland dengan cara yang lebih lestari dan membangunkan projek-projek Eko-Pelancongan (Eco-Tourism) di Cameron Highland.

* Lee Chean Chung adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Categories
NASIONAL

Henti segera tambak sungai Terengganu, elak kejadian Cameron Highland berulang

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Kerajaan pusat perlu menghentikan projek penambakan Sungai Terengganu supaya kejadian serperti empangan pecah di Cameron Highland tidak berulang.

Kamarul BahrinAhli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah, berkata langkah itu kerana terdapat laporan daripada Majlis Keselamatan Negeri yang menjangkakan akan berlaku lima gelombang banjir di Terengganu, termasuk ramalan hujan lebat dan air pasang surut.

“Dengan berlakunya cuaca luar biasa dengan angin lebih 320 kilometer sejam melanda Filipina, Vietnam dan China, kerajaan harus lebih peka dan berhati-hati dengan situasi ini.

“Begitu juga dengan tragedi di Cameron Higland, kerajaan harus ambil tindakan selepas mengorbankan nyawa penduduk,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Raja Bahrin berkata, , beliau pernah bertanya kepada Menteri Kerja Raya dan Alam Sekitar berkenaan isu itu namun dua kementerian itu tidak memberi jawapan yang memuaskan, pada 12 dan 13 November lalu.

Katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan serius kerana membabitkan lebih 200,000 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berisiko dalam isu terbabit.

“Kerajaan memperjudikan nyawa rakyat dengan tindakan tidak bertanggungjawab. Saya harap kerajaan tolong prihatin dalam hal ini kerana sudah banyak kali membangkitkannya tetapi tidak satu tindakan diambil dan kerja penambakan sudah dua kali di lakukan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kerja penambakan lebih 80.94 hektar itu dibuat tanpa pelaksanaan kajian hidraulik dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) juga tidak mengawasi kerja terbabit dan hanya Jabatan Kerja Raya (JKR) ditugaskan menjaga projek itu.

“Ini adalah satu keadaan luar biasa apabila jabatan yang seharusnya dipertanggungjawabkan tidak ditugaskan mengawas dan mengendalikan projek itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata beliau bimbang kerana projek itu akan menjejaskan penduduk sekitar.

“Projek ini akan menyebabkan rakyat berada dalam keadaan bahaya kerana banjir mudah berlaku jika tidak dikawal berlaku,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR ucap takziah mangsa tragedi arus deras Cameron Highland

Banjir lumpur di cameron

SHAH ALAM 24 OKT : PKR mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi arus deras akibat pembukaan empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet,Cameron Highland yang mengakibatkan kematian tiga jiwa.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, meskipun tidak ada sesiapa mempersoalkan keperluan untuk menghalang empangan tersebut daripada pecah dan mengakibatkan kesan yang buruk namun beliau runsing dengan prosedur yang digunapakai bagi melepaskan air empangan tersebut.

“Adakah amaran sewajar dan secukupnya diberikan kepada mereka yang hampir pasti menerima kesan daripada pelepasan terbabit?

“Apakah langkah keselamatan lain yang diambil bagi memastikan mudarat daripada situasi demikian berada pada kadar minima?,” soal Azmin dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, beliau mempersoalkan siapa yang sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengarahkan pelepasan dan kenapa pihak berkuasa itu menanti sehingga tengah malam sebelum membunyikan isyarat amaran.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti memberikan penjelasan kepada orang ramai,” kata Azmin.

Dalam kejadian itu berlaku banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik itu sehingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Impi urus Lynas, gagal selia empangan

tnb chang lih kangSHAH ALAM 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sistem amaran awal yang secukupnya sebelum membuka pintu empangan hingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di Cameron Highland, awal pagi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Chang Lih Kang, berkata beberapa penduduk memaklumkan siren amaran yang dibunyikan TNB tidak berapa jelas kedengaran disebabkan bunyi hujan, pada awal pagi semalam.

Katanya, tambah memburukkan siren itu hanya dibunyikan kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum pintu empangan hidroeletrik Sultan Abu Bakar dibuka menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Penduduk yang saya temui menyalahkan TNB kerana tidak memberi notis, manakala siren yang dibunyikan pula terlalu singkat hingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Ada juga yang memberitahu saya, mereka tidak dengar siren yang dibunyikan pada awal pagi itu kerana hujan lebat malam tadi (kelmarin). Kerajaan harus serius dalam hal ini, jika empangan tidak boleh diurus, bagaimana isu seperti Lynas ingin diselia,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik berkenaan hingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Lih Kang mendakwa sekurang-kurangnya tiga maut, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

Lih Kang yang melawat ke tempat kejadian pagi semalam, turut menuntut supaya satu jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian, sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Ini kejadian yang sangat menyedihkan, PKR akan bertemu penduduk untuk melihat apa bantuan yang boleh kita salurkan kepada keluarga terjejas. Saya menganggarkan kerugian tinggi terpaksa ditanggung keluarga terbabit berdasarkan kemusnahan harta benda,” katanya.

-NFN-