Categories
SELANGOR

DAP pecat ADN Teluk Datuk

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: DAP bertindak memecat Ahli Dewan Negeri (ADN) Teluk Datuk, Loh Chee Heng daripada parti itu atas kesalahan menyeleweng peruntukan kerajaan negeri bagi kawasan DUN terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai, berkata keputusan terbabit dilakukan selepas sesi pendengaran hari ini yang turut memanggil Loh bagi membela diri.

DAP logo 01Katanya, Jawatankuasa Disiplin sebelum itu meminta Jawatankuasa DAP Selangor untuk membuat siasatan dalaman, Mac lalu.

Susulan itu, ia mendapati laporan terbabit berasas dan terdapat bukti Loh melakukan salahlaku.

“Selepas sesi pendengaran hari ini, Jawatankuasa Disiplin memutuskan ada bukti salahlaku yang serius. Oleh itu, DAP sebulat suara memutuskan untuk membatalkan keahliannya secara serta-merta.

“DAP tidak boleh bertolak ansur dengan perkara ini. Salahlaku seumpama ini melanggari keyakinan awam yang diletakkan kepada wakil rakyat.

“Jawatankuasa Disiplin kesal dengan tindakan Loh yang telah mencemarkan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada semua ADUN parti itu agar tidak sesekali mengulangi kesalahan Loh.

Menurutnya, DAP sentiasa konsisten dengan prinsip integriti yang dijunjung parti dan tidak boleh berkompromi menggadaikan prinsip itu dengan membiarkan wakil rakyatnya berbuat sesuka hati terhadap peruntukan yang diamanahkan.

Sementara itu  laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat DAP Selangor di Shah Alam pada 11 Mei lalu susulan dakwaan salah guna peruntukan itu.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua Kiam Wee, berkata DAP Selangor sebelum itu juga menjalankan siasatan selama lapan minggu terhadap Loh setelah menerima aduan daripada ahli-ahli parti kawasan itu.

“DAP Selangor ingin menegaskan komitmen parti terhadap urus tadbir yang baik, ketelusan dan integriti.

“Kita tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan mana-mana pemimpin kita yang mengkhianati kepercayaan dan amanah rakyat dan memusnahkan kredibiliti parti,” katanya dalam kenyataan media.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.