Categories
NASIONAL

‘Dihalau’ memasuki Sarawak, Azmin tekad kembali bantu rakyat 4 Mei ini

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUBANG, 1 MEI : Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertekad memasuki Sarawak 4 Mei walaupun sekatan terhadapnya berkuatkuasa 2 Mei ini.

Beliau berkata, tiada sebab baginya dihalang memasuki negeri itu dengan mengambil kira hak beliau sebagai rakyat dan anggota Parlimen Malaysia.

Katanya lagi, tiada keperluan baginya menulis surat kepada Tan Sri Adenan Satem untuk membantu pembangkang berkempen di Sarawak.

AZMIN TUPONG“Mengapa saya perlu merayu? Itu hak saya sebagai rakyat Malaysia untuk ke Sarawak. Saya tidak perlu merayu. Kenyataan Adenan Satem supaya saya membuat rayuan itu sebenarnya sekadar menunjukkan keangkuhan beliau sebagai Ketua Menteri.

“Saya tetap akan ke Sarawak 4 Mei ini dan saya tidak akan menulis surat kepadanya. Ini satu penghinaan kepada Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia untuk bergerak dalam negara kita,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas hadir ke Perhimpunan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini, pagi ini.

Sebelum ini, Adenan mengeluarkan arahan supaya pemimpin pembangkang yang disekat memasuki Sarawak menulis surat rayuan terlebih dahulu sebelum memasuki negeri itu.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli semalam menghantar surat permohonan kepada Adenan untuk mempertimbangkan permohonannya memasuki negeri bumi kenyalang itu.

“Sebagai menyahut tawaran Tan Sri Adenan Satem bahawa beliau boleh membenarkan pimpinan pembangkang masuk ke Sarawak sekiranya kami berkelakuan baik dan memohon dengan baik, saya mencuba nasib dengan menulis sebentar tadi (semalam).

“Saya berjanji menjadi #budakbaik dengan tidak mengutuk beliau atau Kerajaan Negeri. Saya hanya akan kritik Najib Razak sahaja,” sindir Rafizi di Facebooknya.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang maklum balas dan perkembangan lanjut mengenai permohonan tersebut.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.