Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia kaji bayaran yuran parkir bot nelayan

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 14 MEI: Kerajaan Negeri sedia mengkaji semula langkah mengenakan caj khas kepada nelayan yang meletakkan sampan mereka di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah caj RM600 setahun itu sudah tentu membebankan golongan nelayan yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

nelayan“Saya bertemu di kalangan pemimpin masyarakat tempatan di sini yang sebahagiannya nelayan, kontraktor kecil di Parlimen Sungai Besar dan banyak pihak lagi, mereka memberikan maklum balas dan pandangan tentang masalah dihadapi.

“Mereka juga ingin mengetahui beberapa dasar dilaksanakan termasuk HIJRAH yang dapat mengupayakan peniaga kecil ini dan ada di kalangan mereka melahirkan kebimbangan tentang yuran khas kepada nelayan meletakkan sampan mereka di jeti LKIM.

“Saya sudah menghubungi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk memberikan maklum balas dan kita sedang mencari jalan supaya tidak membebankan nelayan yang terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi,” kata Mohamed Azmin kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan dengan sekumpulan wakil golongan itu di sebuah restoran di sini, semalam.

Ketika menyentuh perkembangan lawatannya ke Sungai Besar, Mohamed Azmin menyifatkan lawatan dua harinya itu berjaya mencapai sasaran.

“Saya dapat rasakan rakyat di Selangor termasuk di Parlimen Sungai Besar positif melihat beberapa kejayaan dicapai Kerajaan Negeri seperti membela nasib mereka khususnya peniaga dan mereka berpendapatan rendah dan sederhana seperti pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan dan ini banyak membantu mereka melakukan banyak penjimatan bagi menampung kos sara hidup masing-masing.

“Keyakinan inilah menyebabkan mereka meletakkan harapan tinggi supaya pilihan raya kali ini menjadi medan terbaik untuk Kerajaan Negeri mendapat mandat lebih besar. Mandat besar ini akan diterjemahkan dalam bentuk program kebajikan rakyat di kawasan ini, Insha Allah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.