Categories
SELANGOR

KUIS capai status universiti penuh menjelang 2017

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 MEI : Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) giat menuju ke arah mencapai status universiti penuh menjelang 2017, kata Timbalan Rektor Pengurusan Korporatnya, Zulkifli Abd Hamid.

Beliau berkata, pelbagai usaha dipergiatkan secara konsisten bagi merealisasikan titah Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah yang mahu menjadikan KUIS sebagai pusat pendidikan terulung.

KUIS“Kami mensasarkan pada tahun hadapan KUIS dinaiktaraf mencapai status universiti sepenuhnya. Ini sesuai dengan titah Sultan Selangor yang mahu menjadikan KUIS sebagai legasi pendidikan di Selangor.

“Sehingga kini, kita sedang mencapai ke arah itu dengan memperbanyakkan program konvensyen, penerbitan jurnal, kajian di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk menjadikan KUIS setaraf dengan universiti lain,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, KUIS juga merangka pelan jangka panjang bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu.

Antara inisiatif dijalankan termasuklah permeteraian perjanjian memorandum pendidikan bersama Institut pendidikan tinggi dari luar negara.

“Seramai lebih 100 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di KUIS bagi sesi pengajian lepas dan pihak kami terbuka untuk menerima lebih ramai lagi pelajar mengikuti pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KUIS menawarkan tiket penerbangan percuma kepada pelajar antarabangsa selepas selesai membuat pendaftaran di peringkat PhD di KUIS.

“Pihak kami menguruskan kemasukan mereka sejurus mereka tiba di lapangan terbang sehinggalah mereka selesai mendaftar untuk mengikuti pengajian bersama KUIS.

“Lebih istimewanya, tiket penerbangan kali pertama selepas membuat pendaftaran di KUIS ditanggung sepenuhnya pihak kami,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.